Khamis, 30 Julai 2009

Keseimbangan antara rohani dan jasmani dalam pembangunan yang diredhai Allah Taala

Mencapai dan mendapat keredhaan Allah Taala adalah setinggi-tinggi cita-cita seorang Muslim. Dengan itu, Bagaimanakah seseorang Muslim itu akan mendapat keredhaan Allah Taala dalam amalan pembangunan mereka? Artikel ini akan cuba menjawab persoalan tersebut dengan berlandaskan ajaran Al-Quran dan Hadis.

Manusia adalah makhluk Allah Taala yang paling indah rupa paras dan bentuk badannya. Ia dijadikan daripada dua unsur penting iaitu jasad dan roh. Sesiapa yang ingin mengenali hakikat manusia maka ia mesti terlebih dahulu mengenal kedua-dua unsur tersebut. Firman Allah Taala yang bermaksud:

(Ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: "Sesungguhnya Aku akan menciptakan manusia dari tanah". Maka apabila telah Ku sempurnakan kejadiannya dan Ku tiupkan kepadanya roh (ciptaan) Ku; Maka hendaklah kamu tersungkur dengan bersujud kepadanya"(Saad 38: 71-72).

Kemudian dia menyempurnakan dan meniupkan ke dalamnya roh (ciptaan)-Nya dan dia menjadikan bagi kamu pendengaran, penglihatan dan hati; (tetapi) kamu sedikit sekali bersyukur (Al-Sajdah 32: 9).

Setiap orang percaya bahawa tubuh fizikal manusia memerlukan santapan. Akan tetapi adakah mereka percaya bahawa roh juga memerlukan santapan? Sebenarnya, kedua-dua unsur tersebut masing-masing memerlukan santapan yang sesuai dan mencukupi. Jasad memerlukan santapan berbentuk material yang mengenyangkan seperti nasi, daging, ayam, air dan sebagainya. Demikian juga roh memerlukan santapan berbentuk ibadah kepada Allah Taala Tuhan Yang Maha Esa yang menenangkan emosi seperti solat, puasa, zikir dan sebagainya. Firman Allah Taala yang bermaksud:

Dan tidaklah kami jadikan mereka tubuh-tubuh yang tiada memakan makanan, dan tidak (pula) mereka itu orang-orang yang kekal (Al-Anbiyaa’ 21 : 8).

Mereka berkata: "Kami ingin memakan hidangan itu dan supaya tenteram hati kami dan supaya kami yakin bahawa kamu telah berkata benar kepada kami, dan kami menjadi orang-orang yang menyaksikan hidangan itu" (Al-Maaidah 5:113)

Untuk memenuhi keperluan, manusia memerlukan santapan yang seimbang antara jasad dan roh. Jika melebihi santapan jasad manusia akan menjadi binatang malahan lebih sesat daripadanya. Mereka akan dikejutkan pelbagai kes seperti gejala sosial, rasuah, bunuh diri, cubaan membunuh diri, dan sebagainya. Tidak dapat dinafikan bahawa negara maju seperti Eropah dan Jepun mencatatkan kadar bunuh diri yang tinggi. Dengan itu, pengisian rohani merupakan bekalan utama untuk menguatkan jiwa seseorang individu dalam menangani hidup mereka. Sebaliknya, jika melebihi santapan roh manusia akan mangasingkan diri daripada masyarakat, menetap di tempat-tempat ibadat, meninggalkan pembangunan dan sebagainya seperti dilanda sebahagian golongan pengamal tasawwuf. Mereka hanya berpegang kepada fahaman tawaakul (pasrah dan menerima apapun hasil tanpa berusaha sekuat tenaganya), zuhud (mengosongkan hati dari sesuatu yang bersifat duniawi atau meninggalkan hidup kematerian) dan sebagainya, akhirnya mereka akan hilang tanpa belang. Oleh itu, santapan yang seimbang merupakan santapan yang paling sesuai untuk mengejar pembangunan yang diredhai Allah Taala. Demikianlah, Islam telah mengemukakan method yang sederhana dan sesuai berhubung dengan kehidupan manusia. Firman Allah Taala yang bermaksud:

Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik, kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di (muka) bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerosakan (Al-Qasas 28: 77).

Apabila telah ditunaikan solat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi; dan carilah kurnia Allah dan ingatlah Allah banyak-banyak supaya kamu beruntung (Al-Jumu‘ah 62: 10).

Sabda Rasulullah yang bermaksud:

Aku bersembahyang dan aku tidur, aku berpuasa dan aku berbuka dan aku berkahwin (Muslim : 1401).

Selain santapan yang seimbang, santapan yang disantap perlu memenuhi kriteria halal dan baik (Halalan Tayyiban) iaitu santapan yang telah dibenarkan oleh Allah Taala untuk disantap melalui pesanan Rasul-Nya dan tidak mendatangkan sebarang kemudaratan terhadap kesihatan dan akal, serta menjahaui langkah-langkah syaitan yang memudaratkan perjalanan roh manusia seperti syirik, riak dan sebagainya. Firman Allah Taala yang bermaksud:

Hai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu (Al-Baqarah 2 : 168).

Allah Taala menyuruh Rasul-rasul-Nya makan dari makanan yang baik-baik (Tayyibaat) dan mengerjakan amal soleh kerana pemakanan rohani dan jasmani yang halal lagi baik-baik dapat membantu hamba-hamba-Nya dalam mengerjakan amalan yang soleh dan pembangunan yang diredhai Allah Taala selain doa dan ibadah diterima. Firman Allah Taala yang bermaksud:

Hai Rasul-rasul, makanlah dari makanan yang baik-baik, dan kerjakanlah amal yang soleh. Sesungguhnya Aku Maha mengetahui apa yang kamu kerjakan (Al-Mu’minuun 23:51).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan