Jumaat, 15 Julai 2011

Imam al-Nawawi dan Sujud Syukur

قال النووي في المجموع في الفقه الشافعي: قال الشافعي والأصحاب: سجود الشكر سنة عند تجدد نعمة ظاهرة واندفاع نقمة ظاهرة، سواء خصته النعمة والنقمة أو عمت المسلمين... ولا يشرع السجود لاستمرار النعم، لأنها لا تنقطع.

Selasa, 12 Julai 2011

Hak Guru

Hak guru lebih agung dari hak kedua-dua ibu bapa. Ibu bapa adalah penyebab adanya sekarang dan kehidupan yang fana, sementara guru adalah penyebab kehidupan yang kekal (akhirat). Kalaulah tidak ada guru nescaya hanyutlah bersama-sama apa yang diperoleh dari pihak bapa ke arah kecelakaan yang berpanjangan. Dimaksudkan dengan guru yang mendatangkan faedah bagi kehidupan akhirat adalah guru yang mengajar ilmu keakhiratan atau ilmu keduniaan yang tujuannya adalah keakhiratan bukan keduniaan. Adapun pendidikan bertujuan keduniaan semata-mata adalah pemusnahan dan memusnahkan (Al-Ghazali dalam Ihya’ Ulum al-Din Jilid pertama).

Mempertikaikan Guru

Kata ahli Sufi Al-Qusyayri (376-465H.) “Tidak mempertikaikan syeikh (guru) nya pada apa yang ditunjukkan kerana pertikaian murid pada permulaan urusannya mengundang kemudaratan yang besar, sebab permulaan keadaan sebagai bukti ke atas keseluruhan umurnya (Al-Risalah al-Qusyayriyyah).

Rabu, 9 Jun 2010

Penggunaan perkataan pembangunan Islam

Perkataan “pembangunan Islam” sudah lama diguna dan diamalkan dalam sejarah pembangunan Islam. Imam Malik (t.th.: 4: 28) dalam penulisannya Muwatta’ menyebut sebagai “‘Imarah al-Mawat”. Manakala Ahmad bin Al-Husain ibn Ahmad al-Asfahani atau yang lebih dikenali sebagai Abi Syuja‘ (m. 488 H. / 1095 M.) (t.th: 2: 38) pula menyebut sebagai “Ihya’ al-Mawat”. Seterusnya, Ibn Qasim al-Ghazzi (859-918 H./ 1455-1512 M.) (t.th: 2: 39) menyebut sebagai “Al-‘Imarah al-Islamiah”.

Menurut Al-Bayjūrī (1198-1277H./1783-1860M.) (t.th: 2: 39) dinamakan “Al-‘Imarah al-Islamiah” kerana perkataan tersebut dilahirkan setelah kebangkitan agama Islam. Sekalipun perkataan-perkataan tersebut sudah lama digunakan. Namun, pembahasannya adalah berlegar di sekitar pembangunan material seperti tempat tinggal, kandang binatang, ladang, dan kebun yang diusahakan oleh orang-orang beragama Islam bertujuan membezakan dengan pembangunan Jahiliah (Ma’mur jahiliyyan) yang diusahakan oleh orang-orang sebelum kebangkitan agam Islam.

Isnin, 7 Jun 2010

Peranan Al-Istiqraa' dalam penelitian hukum-hakam

Menurut Ibn Qasim al-Ghazzi (859-918 H./ 1455-1512 M.) (t.th: 114-116) dalam syarahan beliau terhadap Matn al-Syaikh Abi Syujaa‘ penentuan masa minimum, kebiasaan dan maksimum kedatangan darah haid dan nifas yang dikemukakan oleh al-Imam al-Syafi‘i (150-204H./767-820M.) adalah bersandarkan Al-Istiqraa’.

Berkaitan dengan Al-Istiqraa’ pula Al-Bayjūrī (1198-1277H./1783-1860M.) dalam Hasyiah al-‘Allamah al-Fadil al-Syaikh Ibrahim al-Bayjuri ‘ala Syarh al-‘Allamah Ibn Qasim al-Ghazzi ‘ala Matn al-Syaikh Abi Syujaa‘ (t.th.: 1: 115) telah mengemukakan dua bahagian Al-Istiqraa’ iaitu Al-Istiqraa’ Naaqis dan Al-Istiqraa’ Taam. Dimaksudkan dengan Al-Istiqraa’ Naaqis ialah mengikuti dan memeriksa sebahagian maklumat, manakala Al-Istiqraa’ Taam pula ialah mengikuti dan memeriksa keseluruhan maklumat yang ada.

Menurut Al-Bayjūrī Al-Istiqraa’ Naaqis ini pernah dilakukan oleh al-Imam al-Syafi‘i dengan mengikuti dan memeriksa sebahagian perempuan Arab seketika beliau membuat penelitian tentang hukum-hakam yang berkaitan dengan tempoh masa kedatangan darah haid dan nifas.

Selain al-Imam al-Syafi‘i, Al-Istiqraa’ Naaqis juga pernah digunakan sebelumnya oleh khalifah Omar dalam penelitian tempoh maksimum penempatan tentera tidak melebihi empat bulan kerana seorang perempuan tidak dapat menahan nafsu syahwatnya melebihi tempoh tersebut seperti yang telah diisyaratkan oleh anaknya yang bernama Hafsah.

Menurut Al-Bayjūrī lagi, Al-Istiqraa’ Naaqis boleh dijadikan dalil zan (dalil dugaan) yang boleh dipertikaikan manakala Al-Istiqraa’ Taam pula boleh dijadikan dalil qat‘i (dalil yang boleh mengalahkan) yang tidak boleh dipertikaikan.

Berdasarkan Al-Istiqraa’ Naaqis yang diamalkan oleh kedua-dua tokoh ini maka hukum-hakam tersebut boleh lagi dipertikaikan kerana ada kemungkinan perempuan itu berbeza menurut suasana dan tempat. Perempuan Asia berbeza dengan perempuan Afrika, Arab, Eropah, dan sebagainya. Dengan itu, tidak menjadi kesalahan jika ada para ulama atau pakar penyelidik di era globalisasi yang berani dan gigih dalam menilai semula segala hukum-hakam yang berkaitan dengan Al-Istiqraa’ Naaqis yang pernah diamalkan oleh para ulama silam.