Selasa, 20 Oktober 2009

Persidangan Antarabangsa Pertemuan Intelektual Muslim Se-ASIAN (27-28/10/ 2009) di PPIK, USM.


KITAB-KITAB WARISAN ILMU TAUHID DI SELATAN THAILAND

Dr. Masakaree Ardae @ Nik Muhammad Syukri Nik Wan Al-Fatani[1]
Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV),
Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan,
Universiti Sains Malaysia,
11800 Minden,
Pulau Pinang.
Tel: 04-6532910
Email: mohdsyukri_nikwan@yahoo.com

Abstrak

Golongan Ahli Sunah Waljamaah di selatan Thailand telah mewarisi pelbagai ajaran ilmu Tauhid, antaranya ajaran Sifat 20. Tidak dapat dinafikan bahawa ajaran Sifat 20 sudah tersebar luas di merata tempat dan menjadi pilihan bagi kebanyakan ulama di pusat-pusat pengajian Islam khususnya di alam Melayu. Memandangkan ramai tokoh ulama selatan Thailand telah terlibat dengan ajaran tersebut, maka kertas kerja ini cuba menyenaraikan kitab-kitab warisan yang berkaitan. Sehubungan dengan itu, objektif kertas kerja ini adalah untuk merungkai kesejarahan dan perkembangan ajaran Sifat 20 di selatan Thailand serta menyenaraikan kitab-kitab warisan yang berkaitan. Bagi mencapaikan objektif tersebut kertas kerja ini menggunakan analisis kandungan melalui data-data sekunder (iaitu kajian keperpustakaan). Dapatan kajian menunjukkan bahawa pada awal abad ke-18M., tokoh ulama selatan Thailand sudah mendengar ajaran Sifat 20. Seterusnya, pada awal abad ke-19M., Syeikh Daud mulai bertanggungjawab untuk memperkenalkan ajaran tersebut kepada para penuntut di alam Melayu khususnya selatan Thailand dan disebar luas kemudiannya oleh tokoh ulama yang begitu ramai seperti Syeikh Ahmad. Dengan itu, banyak kitab warisan ajaran tersebut yang telah dipelajari oleh para penduduk Muslim di selatan Thailand. Kitab-kitab warisan tersebut dapat dibahagikan kepada dua bahagian iaitu kitab-kitab karangan ulama asing dan kitab-kitab karangan ulama tempatan.

Kata Kunci: Sifat 20, Umm al-Barahin, Al-Imam Al-Sanusi dan Selatan Thailand.

1. Pendahuluan

Golongan Ahli Sunah Waljamaah di selatan Thailand telah mewarisi pelbagai ajaran ilmu Tauhid selain ajaran Sifat 20, antaranya ajaran Imam Abu Hanifah, al-Maturidi dan Salafiah yang diajarkan melalui kitab al-Fiqh al-Akbar karangan al-Imam Abu Hanifah, al-‘Aqa’id al-Nasafiyyah karangan Abu Hafs ‘Umar Najm al-Din al-Nasafi, Majmū‘ Fatāwā Syaikh Islām Ahmad bin Taymiyyah karangan Ibn Taymiyyah, Kitāb al-Tauhīd karangan Muhammad ‘Abd al-Wahhāb, dan Prisai bagi Sekalian Mukallaf karangan Syeikh Abdul Qadir bin Abdul Muttalib al-Indūnisī al-Mandīlī. Memandangkan ajaran Sifat 20 merupakan sebuah ajaran yang masih lagi relevan dan berfungsi dalam ilmu Tauhid di selatan Thailand, khususnya 13 sifat Allah Taala, maka kertas kerja ini cuba memberi tumpuan utama terhadap ajaran tersebut.

2. Kemunculan ajaran Sifat 20 di selatan Thailand

Tidak dapat dinafikan bahawa hasil usaha al-Imam al-Sanusi[2] untuk membentuk sebuah ajaran sifat 20 Umm al-Barahin yang unik telah berjaya mempengaruhi ajaran ilmu Tauhid yang muncul selepasnya. Pengaruh ajaran Sifat 20 tersebut, amat nyata dan jelas apabila dilihat dari segi sejarah perkembangannya dalam Islam khususnya di alam Melayu. Kebanyakan penulisan ilmu Tauhid sudah didasari oleh ajaran Sifat 20 khususnya dalam bidang yang berkaitan dengan pemahaman mengenai sifat-sifat Allah Taala.

Aspek ini amat sukar dipisahkan kerana ajaran Sifat 20 merupakan sebuah ajaran yang mudah difahami, jauh daripada fakta-fakta yang beraneka falsafah. Walaupun begitu, ia tetap menjadi pilihan bagi kebanyakan ulama di pusat-pusat pengajian Islam yang penting pada masa lampau. Dengan itu, pengaruh ajaran tersebut menjadi lebih dominan.

Persoalan sifat juga tidak terlepas daripada dipengaruhi oleh unsur khasnya Sifat Dua Puluh (Mudasir Rosder, 1989 : vii).

Selewat-lewatnya pada pertengahan abad ke-17 M., ajaran Sifat 20 sudah menyerap masuk ke dalam sistem pengajian Islam di kepulauan Arab kerana Syeikh Abdul Rauf Singkil[3]yang kembali ke Aceh pada tahun 1661 M. Beliau telah menetap dan memperdalam ilmu-ilmu agama di negara-negara Arab tidak kurang dari 19 tahun dan telah memperkenalkan ajaran tersebut secara tersembunyi dalam penulisan tasawuf yang bertajuk ‘Umdah al-Muhtajin ila Suluk Maslak al-Mufarridin.

Mekah merupakan lanjutan pengajian pondok masyarakat Melayu tradisional, ia bukan sahaja kiblat sembahyang umat Islam seluruh dunia bahkan menjadi pusat pendidikan tertinggi para ulama di alam Melayu (Mohd. Zamberi A. Malek, 1994: 102).

Anak-anak watan Nusantara mempunyai hubungan yang rapat dengan tanah suci Makkah [sic Mekah] dan Madinah. Mereka mempelajari ilmu-ilmu Islam dan tamadunnya dalam halakah ilmu di Masjid al-Haram dan di sekitarnya yang merupakan pusat kegiatan ilmu Islam sejak zaman-berzaman (Mat Rofa Ismail, 1997: 16).

Pada abad ke-12H./18M., ajaran Sifat 20 telah menjadi sebuah kurikulum yang penting dalam sistem pengajian Islam di Mekah dengan menggunakan teks bahasa Arab sebagai teks rasmi dan terdapat beberapa orang guru di kalangan tokoh ulama Melayu yang mengajar, antaranya Syeikh Muhammad Zain Faqih Jalaluddin al-Asyi. Pada zaman ini, ramai ulama Nusantara mengunjungi Mekah untuk menyambung pengajian mereka di sana, tetapi oleh sebab kekurangan pengetahuan tentang bahasa Arab, maka muncul permasalahan dalam meneruskan pengajian mereka. Keadaan tersebut memaksa para guru memnyediakan teks berbahasa Melayu tulisan jawi, maka lahirlah kitab Bidayah al-Hidayah karangan Syeikh Muhammad Zain Faqih Jalaluddin al-Asyi sebagai huraian kepada ajaran Sifat 20 Umm al-Barahin al-Imam al-Sanusi dan menjadi teks pengajian ilmu Tauhid bagi para pelajar alam Melayu yang belum menguasai bahasa Arab.

Sungguhnya telah aku melihat pada zaman ini akan orang Jawi daripada kesangkatan ertinya daripada akal pada berlajar[sic belajar] dengan bahasa Arab, maka aku kehendak aku terjemahkan akan karangan imam yang lebih lagi warak iaitu Abu ‘Abd Allah kunyahnya, Muhammad namanya, anak Yusuf, Sanusi nama negerinya, Hasani bangsanya, yang reda Allah daripadanya, yang dinamai karangannya iaitu Umm al-Barahin dengan bahasa jawi, serta aku nyatakan maknanya dengan barang yang aku lihat akan dia pada setengah daripada beberapa syarah dan setengah daripada beberapa hasyiah dan aku himpunkan kepadanya setengah daripada beberapa faedah yang berkehendak kepadanya kerana memberi manfaat dengan dia segala orang yang baharu berlajar[sic belajar] dan aku namai akan dia Bidayah al-Hidayah (Syeikh Muhammad Zain Faqih Jalaluddin al-Asyi, 1342: 2).

Apabila Mekah menjadi pusat ibadat bagi kaum Muslimin dan Aceh menjadi pusat pengajian Islam di Nusantara, maka tidak hairanlah jika para ulama Patani generasi Abdul Rauf Singkel pernah mendengar konsep-konsep ajaran Sifat 20. Pada abad ke-18M., keyakinan berkenaan konsep-konsep ajaran tersebut bertambah meningkat berdasarkan latar belakang pengajian beberapa orang ulama Patani seperti Syeikh Ali bin Faqih al-Fatani (Mufti yang ke-2 kerajaan Mempawah, Kalimantan) dan Syeikh Abdul Jalil al-Fatani (penyebar Islam di Sambas, Kalimantan) yang pernah belajar di Mekah dan kemudiannya sampai di Mempawah dalam lingkungan tahun 1160H./1747M.[4], Syeikh Abdul Rahman bin Abdul Mubin Pauh Bok al-Fatani (m.1780-an) yang pernah belajar di Mekah dan Madinah dan juga mengajar di masjid al-Nabawi dan Masjid al-Haram, dan diikuti pula dengan latar belakang pengajian muridnya iaitu Syeikh Daud bin Abdullah al-Fatani (selepas ini akan disebutkan sebagai Syeikh Daud) yang pernah berguru dengan Syeikh Muhammad Zain Faqih Jalaluddin al-Asyi penulis Bidayah al-Hidayah dan Syaikh al-Azhar iaitu al-Syaikh ‘Abd Allah bin Hijazi al-Syarqawi penulis Hasyiyah al-Syaikh ‘Abd Allah bin Hijazi al-Syarqawi ‘ala Syarh al-Imam al-‘Allamah Muhammad bin Mansur al-Hudhudi ‘ala Umm al-Barahin.

Selepas kelahiran kitab Bidayah al-Hidayah, tidak berapa lama lahirlah beberapa buah hasyiah seperti Hasyiyah al-Syaikh ‘Abd Allah bin Hijazi al-Syarqawi ‘ala Syarh al-Imam al-‘Allamah Muhammad bin Mansur al-Hudhudi ‘ala Umm al-Barahin karangan al-Syaikh ‘Abd Allah bin Hijazi al-Syarqawi pada tahun 1194H., dikuti dengan Hasyiyah al-Dusuqi ‘ala Umm al-Barahin karangan al-Syaikh Muhammad al-Dusuqi (m.1230H./1815M.) pada tahun 1214H. dan Hasyiyah al-‘Allamah al-Bayjuri ‘ala Matn al-Sanusiyyah karangan al-Syaikh Ibrahim al-Bayjuri(1198-1277H./1783-1860M.) pada tahun 1227H.

Kelahiran hasyiah-hasyiah terbaru telah mendesak para ulama untuk mengubah teks pengajian dengan mengumpulkan pengetahuan-pengetahuan yang dimiliki oleh para ulama yang pakar dalam bidang ilmu Usuluddin dan Akidah. Dari sini lahirlah pula sebuah kitab dalam bahasa Melayu al-Durr al-Thamin fi Bayan ‘Aqa’id al-Mu’minin karangan Syeikh Daud pada awal abad ke-13H./19M. Maka, dapat disalurkan dengan mudah kepada golongan sasaran yang tidak mahir berbahasa Arab.

Maka tatkala pada tahun 1232 daripada hijrah Nabi [1816M.] atas-Nya itu yang terlebih afdal selawat dan salam, telah bergerak-gerak hatiku yang lemah dan akalku yang pendek bahawa aku hendak mehimpunkan [sic menghimpunkan] beberapa kalam ulama yang muhaqqiqin [menerangkan segala masalah dan disertai dengan dalil-dalil] pada bicara ilmu Usulluddin dan Akaid Ahl al-Tauhid [Ahli Tauhid] dan aku sebutkan permata lu’lu’[mutiara]nya dan aku tinggalkan sadafnya yakni kulitnya hal keadaannya megemarkan [sic menggemarkan] bagi orang yang menuntut lagi keadaannya meterjemahkan [sic menterjemahkan] dengan bahasa jawi supaya dipaham akan dia oleh orang yang tiada ketahui bahasa Arab (Syeikh Daud, t.th.: 2).

Kedua-dua teks tersebut pada asalnya ditulis hanya untuk menjadi teks pengajian ilmu Tauhid dalam bahasa Melayu di Mekah bukan untuk tujuan lain tetapi tujuan tersebut telah berubah setelah kedatangan Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fatani (selepas ini akan disebutkan sebagai Syeikh Ahmad).

Menjelang tahun 1276 H./1860 M., bahasa Melayu merupakan bahasa kedua di Mekah setelah bahasa Arab (Bruinessen, 1995 : 41). Berkemungkinan dengan jumlah anak Melayu yang begitu ramai telah mendorong perasaan Syeikh Ahmad yang berada di sana mentashihkan kitab Bidayah al-Hidayah pada pagi hari Sabtu 20 Rejab 1303 H./1885 M.

Rentetan jasa Syeikh Ahmad, kitab Bidayah al-Hidayah telah dicetak di beberapa percetakan di Mekah, Mesir dan Turki dan sampai sekarang masih berada di dunia perniagaan. Kitab ini adalah sebagai satu bukti bahawa kitab Bidayah al-Hidayah masih banyak digunakan di beberapa tempat (Wan Mohd. Shaghir Abdullah, 1990: 1).

Kitab-kitab Tauhid atau Ilmu Usuluddin atau Ilmu Kalam atau Ilmu Sifat Dua Puluh bermunculan di seluruh penjuru Tanah Jawi atau Asia Tenggara atau Alam Melayu (Wan Mohd. Shaghir Abdullah, 1990: 1).

Selain itu, terdapat ramai para penuntut di Masjid al-Haram yang terdiri daripada penduduk Muslim selatan Thailand. Dengan itu, ajaran 20 dan huraiannya turut tersebar dan mendapat sambutan dan sokongan yang baik daripada para intelektual di sekitar kawasannya, dan juga menjadi warisan para ulama sehingga hari ini, khususnya dalam sistem pengajian pondok.

The Malay Muslims of Thailand usually come to study in the Masjid al-Haram during the time of hajj. Besides trying to find opportunities to study, they also perform the hajj, the fifth pillar of Islam. If the situation permits them to stay longer in Mecca [sic Mekah], they may continue to sit under certain teachers, year after year, until they really become initiated into traditional Islamic learning. ………In the mean time, the Muslim communities back home are waiting to see them return, highly qualified with knowledge. The Muslim communities usually prepare to welcome them with parcels of donated land (awqaf) and build them Islamic centers for traditional teaching, as they did for their former teachers (Hasan Madmarn, 2002 : 36-7).

3. Kitab-kitab warisan ajaran Sifat 20

Banyak kitab warisan ilmu Tauhid yang telah dipelajari oleh para penduduk Muslim di selatan Thailand dan menjadi rujukan utama para ulamanya. Namun, yang akan dikumpulkan di sini hanya beberapa buah kitab yang berkaitan dengan ajaran Sifat 20 dengan membahagikannya kepada dua bahagian seperti berikut:

3.1 Kitab-kitab karangan ulama asing

· متن الجوهرة التوحيد (Matn al-Jauharah al-Tauhīd) karangan al-Syaikh Burhan al-Dīn Ibrāhīm bin Ibrāhīm bin Hasan al-Laqqānī al-Misrī al-Mālikī (m.1041H./1631M.),متن السنوسية (Matn al-Sanūsiyyah) karangan al-Imām al-Sanūsī, setebal 21 halaman sebagai himpunan kepada al-Jauharah al-Tauhīd, sebuah teks singkat dalam bentuk untaian bait sajak dan Umm al-Barāhīn. Dicetak di Percetakan Dār al-Tibā‘ah al-Islāmiyyah, Patani, Siam (Thailand). Himpunan yang serba kecil ini bertujuan mempermudah para penuntut dalam sistem pengajian pondok untuk menghafalkan kedua-dua matan tersebut.
· شرح الإمام العلامة محمد بن منصور الهدهدى على أم البراهين (Syarh al-Imām al-‘Allāmah Muhammad bin Mansūr al-Hudhudī ‘alā Umm al-Barāhīn) karangan al-Syaikh Muhammad bin Mansūr al-Hudhudī sebagai keterangan kepada Umm al-Barāhīn dengan berlandaskan Syarh Umm al-Barāhīn karangan al-Imām al-Sanūsī. Dalam karangan ini terdapat beberapa buah dalil al-Quran pada sifat al-Sam’, al-Basar dan al-Kalām. Pada tahun 1194 H. karangan ini telah dihasyiah oleh al-Syarqāwī. Seterusnya, karangan ini juga telah menjadi pedoman para ulama Nusantara dalam menterjemahkan Umm al-Barāhīn ke dalam bahasa Melayu.
· بداية الهداية (Bidāyah al-Hidāyah) karangan Syeikh Muhammad Zain Faqih Jalaluddin al-Asyī, dalam bahasa Melayu setebal 60 halaman. Kitab ini merupakan terjemahan dan huraian kepada Umm al-Barāhīn yang berlandaskan Syarh Umm al-Barāhīn karangan al-Imām al-Sanūsī dan Syarh al-Imām al-‘Allāmah Muhammad bin Mansūr al-Hudhudī ‘alā Umm al-Barāhīn karangan al-Syaikh Muhammad bin Mansūr al-Hudhudī. Selesai ditulis pada malam Jumaat 24 Syaaban 1170H. bersamaan 14 Mei 1756M. Setelah ditulis lebih kurang selama 132 tahun 10 bulan 26 hari, kitab tersebut telah ditashih kali pertama oleh Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain Al-Fatānī pada pagi hari Sabtu 20 Rejab 1303H./1886M. Atas jasa Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain Al-Fatānī kitab ini dicetak di beberapa Percetakan di Mekah, Mesir. Mengikut Wan Mohd. Shaghir Abdullah (1990 dan 1999 : 1) kitab ini dianggap sebagai sebuah kitab Tauhid dalam bahasa Melayu yang tertua yang masih berada dalam pasaran di dunia Melayu/Asia Tenggara. Adapun yang lebih tua tidak ditemui lagi.
· حاشية الشيخ عبدالله بن حجازى الشرقا وى على شرح الإمام العلامة محمد بن منصور الهدهدى على أم البراهين (Hāsyiyah al-Syaikh ‘Abd Allāh bin Hijāzī al-Syarqāwī ‘alā Syarh al-Imām al-‘Allāmah Muhammad bin Mansūr al-Hudhudī ‘alā Umm al-Barāhīn) karangan al-Syaikh ‘Abd Allāh bin Hijāzī al-Syarqāwī dalam bahasa Arab setebal 144 halaman sebagai hasyiah kepada Syarh al-Imām al-‘Allāmah Muhammad bin Mansūr al-Hudhudī ‘alā Umm al-Barāhīn. Padanya memperkenalkan al-Imām al-Sanūsī dan diikuti dengan kritikan terhadap beberapa perkataan yang telah digunakan oleh al-Syaikh Muhammad bin Mansūr al-Hudhudī. Siap ditulis pada hari Jumaat 13 Ramadan 1194 H. dan dicetak beberapa kali di Percetakan Mustafā al-Bābī al-Halabī wa Awlāduh, Mesir. Ramai di kalangan para ulama selatan Thailand yang telah mempelajarinya.
· حاشية الد سوقى على أم البراهين (Hāsyiyah al-Dusūqī ‘alā Umm al-Barāhīn) karangan al-Syaikh Muhammad al-Dusūqī setebal 240 halaman sebagai hasyiah kepada Syarh Umm al-Barāhīn karangan al-Imām al-Sanūsī. Siap ditulis pada hari jumaat 27 Syaaban 1214 H. dan dicetak pada tahun 1358 H./1939 M. Antara Percetakan yang pernah mencetakkan hasyiah ini adalah Percetakan Muhammad al-Nahdī wa Awlādah, Bangkok. Hasyiah ini sampai sekarang masih dijual di kedai-kedai dan menjadi sebuah teks rujukan di beberapa institusi pengajian pondok di selatan Thailand.
· كفاية العوام فيما يجب عليهم من علم الكلام (Kifāyah al-‘Awām fī Mā Yajib ‘Alayhim min ‘Ilm al-Kalām) karangan al-Syaikh Muhammad bin al-Syāfi‘ī al-Fadālī. Karangan ini merupakan sebuah risalah kecil yang menggabungkan antara sifat yang wajib bagi Zat Allah Taala dan dalil-dalil seperti mengemukakan al-Wujūd, diikuti dengan dalil baginya. Adapun sifat-sifat yang mustahil dan harus akan disusuli kemudiannya. Di samping itu, karangan ini telah menambah sedikit keterangan dan diberi nama dengan al-‘Aqā’id al-Khamsīn (Akaid Lima Puluh) iaitu dua puluh sifat yang wajib bagi Zat Allah Taala, dua puluh sifat yang mustahil bagi-Nya, satu sifat yang harus bagi-Nya, empat sifat yang wajib bagi Rasul, empat sifat yang mustahil baginya dan satu sifat yang harus baginya. Karangan ini dicetak bersama-sama dengan Tahqīq al-Maqām ‘alā Kifāyah al-‘Awām fī Mā Yajib ‘Alayhim min ‘Ilm al-Kalām karangan al-Syaikh Ibrāhīm al-Bayjūrī sebagai hasyiah kepadanya.
· تحقيق المقام على كفاية العوام فيما يجب عليهم من علم الكلام (Tahqīq al-Maqām ‘alā Kifāyah al-‘Awām fī Mā Yajib ‘Alayhim min ‘Ilm al-Kalām) karya al-Syaikh Ibrāhīm al-Bayjūrī setebal 84 halaman sebagai hasyiah kapada kitab Kifāyah al-‘Awām fī Mā Yajib ‘Alayhim min ‘Ilm al-Kalām karangan seorang guru beliau iaitu al-Syaikh Muhammad bin al-Syāfi‘ī al-Fadālī. Selesai ditulis pada 29 Ramadan 1223 H./1807 M. dan dicetak kemudiannya di Dār al-Ihyā’ al-Kutub al-‘Arabiyyah, Mesir dan Percetakan Muhammad Nahdī wa Awlādah, Bangkok.
· حاشية العلامة البيجوري على متن السنوسية (Hāsyiyah al-‘Allāmah al-Bayjūriy ‘alā Matn al-Sanūsiyyah) karangan al-Syaikh Ibrāhīm al-Bayjūrī dalam bahasa Arab sebagai hasyiah kepada Umm al-Barāhīn. Karangan ini siap ditulis pada hari Rabu bulan Ramadan 1227 H. dan dibuat hamisy[5] kemudiannya oleh al-Anbābī. Kedua-duanya mempunyai 56-60 halaman dan dicetak kali pertama di Percetakan ‘Abd al-Hamīd Ahmad Hanafī, Kaherah, Mesir. Setelah itu, dicetak lagi di Percetakan Dār al-Ihyā’ al-Kutub, Mesir dan juga di Percetakan Dār al-Mu‘ārif, Pulau Pinang, Malaysia.
· حاشية العلامة الصا وى على شرح الخريدة البهية لأبى البركات سيدى أحمد الدردير (Hasyiyah al-‘Alāmah al-Sāwī ‘alā Syarh al-Kharīdah al-Bahiyyah li Abī al-Barakāt Sīdī Ahmad al-Dardīr) Karangan seorang ulama kelahiran Mesir dan bekas pelajar Universiti al-Azhar, Mesir iaitu Ahmad bin Muhammad al-Mālikī al-Sāwī (m. 1241 H./1825 M.), dalam bahasa Arab setebal 173 halaman. Padanya 96 halaman membicarakan 13 sifat Allah Taala yang pernah dibicarakan oleh al-Imām al-Sanūsī dan diikuti dengan sifat-sifat yang mustahil dan harus bagi Allah Taala. Siap ditulis pada bulan Ramadan 1228H. dan dicetak kemudiannya di Percetakan al-Istiqāmah, Mesir. Setelah itu Hāsyiyah ini diedar juga ke Arab Saudi dan ramai di kalangan para ulama selatan Thailand yang pernah mempelajarinya, antara ulama selatan Thailand yang pernah mengajar Hāsyiyah ini ialah Haji Abdullah Bendang Kebun, Yarang, Patani bekas pelajar Ismail bin Abdul Qadir al-Fatānī.
· تحفة المريد على جوهرة التوحيد (Tuhfah al-Murīd ‘alā Jawharah al-Tauhīd) karangan al-Syaikh Ibrāhīm al-Bayjūrī, dalam bahasa Arab, sebagai hasyiah kepada kitab Matn Jawharah al-Tauhīd karangan al-Syaikh Burhan al-Dīn Ibrāhīm bin Ibrāhīm bin Hasan al-Laqqānī al-Misrī al-Mālikī dan juga sebagai syarah kepada kitab Umm al-Barāhīn. Selesai ditulis pada malam Khamis awal Safar 1234 H. dan dicetak beberapa kali di Percetakan Mustafā al-Bābī al-Halabī wa Awlāduh, Mesir.
· مجموع مهمات المتون (Majmū‘ Muhimmāt al-Mutūn). Padanya enam puluh enam matan penting dalam pelbagai bidang ilmu. Dimulai dengan Umm al-Barāhīn setebal 8 halaman iaitu mulai halaman 3-10 dan dikuti dengan Matn Jauharah al-Tauhīd karangan al-Syaikh Burhan al-Dīn Ibrāhīm bin Ibrāhīm bin Hasan al-Laqqānī al-Misrī al-Mālikī. Himpunan ini telah dicetak beberapa kali di Percetakan Mustafā al-Bābī al-Halabī wa Awlāduh, Mesir dan diedar juga ke Mekah sehingga himpunan ini menjadi sebahagian rujukan bagi kebanyakan para ulama di selatan Thailand.
· شرح باكى متن جوهرة التوحيد (Syarah bagi Matan Jawharah al-Tauhīd). Sebuah terjemahan bagi Syarh Matn Jawharah al-Tauhīd ke dalam bahasa Melayu setebal 72-78 halaman dengan tidak ditulis nama penterjemah. Selesai ditulis di Sambas, Kalimantan pada hari rabu bulan Ramadan 1292 H./1874 M. dan dicetak di Percetakan al-Islāmiyyah al-‘Arabiyyah dan Muhammad Nahdī wa Awlādah, Bangkok. Dijual di kedai buku Sulaymān Mar‘ī, Surabaya dan juga di kedai-kedai buku di selatan Thailand. Kitab ini telah dimasukkan ke dalam kurikulum pengajian ilmu Tauhid di institusi pengajian pondok di selatan Thailand.
· سراج الهدى فد ميتا كن عقيدة أهل التقوى (Sirāj al-Hudā pada Menyatakan Akidah Ahl al-Taqwā) karangan Syeikh Muhammad Zainuddin bin Muhammad Badawi Al-Sumbāwī dalam bahasa Melayu setebal 50 halaman, sebagai huraian kepada Umm al-Barāhīn. Siap ditulis di Mekah pada sekitar tahun 1885-86 M. dan kemudiannya dicetak di Percetakan Sulaymān Mar‘ī, Singapura. Kata Wan Mohd. Shaghir Abdullah tentang Sirāj al-Hudā pada Menyatakan Akidah Ahl al-Taqwā :

Menurut tradisi pengajian pondok di Alam Melayu tiga buah kitab berurutan dipelajari iaitu dimulai dari “Fari~datul Fara~id ” [sic Farīdah al-Farā’id fī ‘Ilm al-‘Aqā’id] karya Syeikh Ahmad…Kemudian disambung dengan “Sira~jul Huda~” [sic Sirāj al-Hudā pada Menyatakan Akidah Ahl al-Taqwā] karya Syeikh Zainuddin…Setelah mahir betul akan kitab dua tersebut barulah dimulai dengan mengaji “Ad Durrust Stami~n ” [sic al-Durr al-Thamīn fī Bayān ‘Aqā’id al-Mu’minīn] karya Syeikh Daud (Wan Mohd. Shaghir Abdullah, 1990 : 3).

· هداية الصبيان فى معرفة الاسلام والايمان (Hidāyah al-Subyān fī Ma’rafah al-Islām wa al-Īmān karangan Abu Abdullah Husain bin Muhammad Nasir bin Muhammad Taib al-Mas‘ūdī al-Banjārī atau Tuan Husain Kedah (lahir 1280 H./1862 M.) dalam bahasa Melayu, tulisan jawi setebal 38 halaman. Membicarakan iman dan Islam di samping menyatakan Sifat 20 dan diikuti dengan hukum-hukum fikah. Siap ditulis pada hari Isnin 18 Muharam 1303H./1885M. dan dicetak di Percetakan Dār al-Mu‘ārif, Pulau Pinang, Malaysia.
· صفة دوا فوله (Sifat Dua Puluh) karangan Sayyid Osman bin Abdullah bin Aqil bin Omar bin Yahya al-‘Alawī dalam bahasa Melayu setebal 22 halaman. Membincangkan huraian tentang Sifat 20 yang disertai dengan dalil-dalil al-Quran. Siap ditulis pada tahun 1304 H./1886/7 M. Sekalipun risalah ini merupakan sebuah risalah kecil namun pengaruhnya sangat besar terhadap umat Islam di selatan Thailand.
· هداية المتفكرين فى تحقيق معرفة رب العالمين (Hidāyah al-Mutafakkirīn fī Tahqīq Ma‘rifah Rabb al-‘Ālamīn) karangan Abu Abdullah Husain bin Muhammad Nasir bin Muhammad Taib al-Mas‘ūdī al-Banjārī dalam bahasa Melayu tulisan jawi setebal 54 halaman. Karangan ini merupakan sebuah risalah yang menghuraikan berkenaan Sifat 20 mengikut susunan al-Syaikh Ibrāhīm al-Bayjūrī di samping mengemukakan dalil-dalil naqli daripada al-Quran. Siap ditulis pada 3 Rabiulakhir 1337 H./1918 M. dan dicetak di Percetakan The United Press, Pulau Pinang, Malaysia.
· فلا جران علم توحيد (Palajaran Ilmu Tauhid) karangan Ya‘qub bin Haji Hasan setebal 80 halaman. Padanya 21 halaman membicarakan sifat-sifat Allah Taala mengikut susunan al-Imām al-Sanūsī iaitu mulai daripada halaman 25 hingga halaman 45. Pada keseluruhannya, buku ini telah mengemukakan dalil akal. Siap ditulis pada November 1949M. dan dicetak di Percetakan al-Ahliyyah, Kota Bharu, Kelantan setelah disahkan oleh majlis ulama dan diperkenankan oleh Majlis Ugama Islam Kelantan.
· توحيد المعبود للمدارس والمكاتب الدينية (Tauhīd al-Ma‘būd li al-Madāris wa al-Makātib al-Dīniyyah karangan Luqman Ahmad Ali, kelulusan Universiti al-Azhar, dalam bahasa Arab setebal 93 halaman. Padanya 67 halaman membicarakan 13 sifat Allah Taala serta dalil-dalil daripada al-Quran dan akal dan diikuti dengan sifat yang mustahil dan harus bagi Allah Taala mengikut susunan al-Syaikh Muhammad bin al-Syāfi‘ī al-Fadālī. Karangan ini telah diterbitkan kali pertama pada tahun 1971 M. oleh Syarikat Dian Sdn.Bhd. Kota Bharu, Kelantan, Malaysia. Karangan ini juga telah menjadi sebuah kurikulum pengajian ilmu Tauhid di beberapa buah Sekolah Swasta Mengajar Agama Islam di sekitar kawasan selatan Thailand hingga sekarang.
· متيارا توحيد (Mutiara Tauhid) karangan Abi Luqman setebal 95 halaman. Padanya 29 halaman membicarakan 13 sifat Allah Taala mengikut susunan al-Imām al-Sanūsī iaitu daripada halaman 28 hingga 56. Selain memberikan huraian, pengarang juga telah mengemukakan dalil-dalil al-Quran dan akal pada setiap sifat. Buku ini telah dicetak kali pertama pada tahun 1978 M. di Percetakan al-Ahliyah Sendirian Berhad, Kota Bharu, Kelantan dan menjadi kurikulum dalam pengajian ilmu Tauhid di kebanyakan Sekolah Swasta Mengajar Agama Islam di sekitar kawasan selatan Thailand.

3.2 Kitab-kitab karangan ulama tempatan

· الد ر الثمين فى بيان عقائد المؤمنين (al-Durr al-Thamīn fī Bayān ‘Aqā’id al-Mu’minīn) karya Syeikh Daud bin Abdullah Al-Fatānī dalam bahasa Melayu tulisan jawi setebal 103 halaman. Adapun kandungannya ialah adaptasi daripada penulisan Umm al-Barāhīn. Padanya dalil-dalil al-Quran, tanda-tanda akal dan beberapa perkataan para ulama ilmu Usuluddin. Siap ditulis di Mekah pada waktu zuhur hari Sabtu 17 Syawal 1232 H. dan dicetak di Percetakan Dār al-Ihyā’ al-Kutub, Mesir. Selain di Percetakan tersebut, ia juga dicetak di Pulau Pinang, Mekah, Turki dan Bombay. Kitab ini merupakan sebuah kitab yang paling banyak tersebar dan sehingga kini masih dijual di kedai-kedai dan menjadi sebuah kitab yang penting di institusi pengajian pondok di selatan Thailand.
· اينله عقيدة با كي سنوسية متن ام البراهين (Inilah Akidah bagi Sanūsiyyah Matn Umm al-Barāhīn) sebuah terjemahan Umm al-Barāhīn ke dalam bahasa Melayu tulisan jawi setebal 32 halaman, tidak disebut nama penterjemah. Terjemahan ini merupakan suatu kesinambungan daripada terjemahan yang telah disiapkan pada tahun 1188 H./1774 M. Pada pendahuluannya terdapat cerita dalam mimpi yang tertulis dalam Taqrīr al-‘Allāmah al-Syams al-Anbābī dan diikuti dengan kata-kata seorang ulama yang pernah berguru dengan Syeikh Daud bin Abdullah Al-Fatānī iaitu Abdul Qadir bin Abdul Rahman.

Ini adalah sebuah risalah yang indah mengandungi akidah Ahli Sunah Waljamaah, tiada padanya menyimpang dan keraguan.

Terjemahan ini telah dicetak di Muslim Press, Patani, Siam dan Maktabah wa Mataba‘ah Muhammad al-Nahdī wa Awlādah, Bangkok. Pada keseluruhannya, setiap kali dicetak terdapat kesilapan terjemahan yang begitu banyak dan belum lagi diperbaiki sehingga hari ini. Namun, terjemahan ini masih lagi menjadi sebuah terjemahan yang penting di institusi pengajian pondok.
· عقيدة الناجين فى علم أصول الدين (‘Aqīdah al-Nājīn fī ‘Ilm Usūl al-Dīn) karya Syeikh Zainal Abidin al-Fatani sebagai huraian kepada penulisan Umm al-Barāhīn dalam bahasa Melayu setebal 140 halaman mengikut susunan penulisan al-Imām al-Sanūsī. Pada keseluruhannya, syarahan ini berlandaskan kitab Bidāyah al-Hidāyah. Siap ditulis pada hari Sabtu akhir bulan Jamadilakhir 1308 H./1890 M. dan dicetak kali pertama di Percetakan Dār al-Ihyā’ al-Kutub al-‘Arabiyyah, Kaherah, Mesir, diikuti dengan cetakan ke-2 di al-Matba‘ah al-Miriyyah, Mekah pada 1332 H./1913 M. Keluaran yang ke-4 telah dicetak di Percetakan Dār al-Mu‘ārif, Pulau Pinang. Setelah itu, dicetak juga oleh Percetakan Muhammad Nahdī wa Awlādah di Bangkok, Thailand. Kata Wan Mohd. Shaghir Abdullah :

Sesudah Warduz Zawa~hir [sic Ward al-Zawāhir, Mawar Segala Buga] kitab Tauhid yang kedua besar ialah “Aqi~datun Na~ji~n” [sic ‘Aqīdah al-Nājīn fī ‘Ilm Usūl al-Dīn] (عقيدة النا جين) karya Syeikh Daud (Wan Mohd. Shaghir Abdullah, 1990 : 4).

Mengikut Ahmad Fathy al-Fatani kitab ini masih menjadi teks utama dalam sistem pengajian pondok di Patani, Kelantan dan Kedah, ia dipelajari setelah selesai mengikuti kitab-kitab sebelumnya seperti Bidāyah al-Hidāyah, al-Durr al-Thamīn fī Bayān ‘Aqā’id al-Mu’minīn, dan Sirāj al-Hudā pada Menyatakan Akidah Ahl al-Taqwā (Ahmad Fathy al-Fatani, 2001: 70-1).

· مفتاح المريد فى علم التوحيد (Miftāh al-Murīd fī ‘Ilm al-Tauhīd) karangan Syeikh Zainal Abidin al-Fatani dalam bahasa Melayu tulisan jawi setebal 10 halaman serta kulit. Karangan ini merupakan sebuah risalah yang memberikan huraian kepada Sifat 20 secara kesimpulan pendek mengikut susunan al-Syaikh Ibrāhīm al-Bayjūrī. Dalam pada itu, karangan ini telah mengemukakan beberapa dalil yang kebanyakannya dalil akal. Karangan ini telah dicetak kali pertama di Matba‘ah al-Turqī al-Mājidiyyah al-‘Uthmāniyyah, Mekah pada 1330 H./1912 M. dan dicetak pula di Percetakan Persam, Pulau Pinang, Malaysia.
· فريدة الفرائد فى علم العقائد (Farīdah al-Farā’id fī ‘Ilm al-‘Aqā’id) karangan Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain Al-Fatānī. Karangan ini merupakan sebuah risalah kecil dalam bahasa Melayu setebal 24 halaman. Kandungannya ialah perbahasan Sifat 20 mengikut susunan al-Syaikh Ibrāhīm al-Bayjūrī di samping mengemukakan sifat Takwīn yang menjadi anutan al-Māturīdī. Karangan ini juga telah menjadi sebuah kitab tradisi dalam sistem pengajian pondok di alam Melayu khususnya selatan Thailand. Siap ditulis di Mekah pada hari Isnin 12 Rabiulawal 1313 H./1895/6 M. dan dicetak kali pertama di Percetakan Dār al-Ihyā’ al-Kutub al-‘Arabiyyah, Kaherah, Mesir, setelah itu dicetak pula di Percetakan Dār al-Mu‘ārif, Pulau Pinang, Malaysia. Pada tahun 1380 H./1960 M. Haji Abdullah bin Haji Ibrahim al-Jābī al-Fatānī telah menyelesaikan sebuah huraian iaitu ‘Umdah al-Tālib al-Mujtahid fī Syarh Farīdah al-Farā’id. Syarahan ini telah ditashih kemudiannya oleh guru beliau dan sekaligus mertuanya iaitu Haji Ahmad bin Abdul Wahhab al-Pusānī dan dicetak beberapa kali di Percetakan Patani Press, Patani. Selain itu, Haji Nik Abdullah Ahmad al-Jambuwī telah membuat sebuah kesimpulan dengan tajuk Pati Farīdah al-Farā’id.
· عنوان الفلاح وعنفوان الصلاح (‘Unwān al-Falāh wa ‘Unfuwān al-Salāh) karangan Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain Al-Fatānī dalam bahasa Melayu tulisan jawi setebal 88 halaman. Dimulai tulisannya dengan Sifat 20 serta dalil-dalilnya mengikut susunan al-Syaikh Ibrāhīm al-Bayjūrī, disusuli dengan sifat-sifat Rasul, ilmu fikah, adab perangai yang baik dan ilmu pergaulan. Dari sini nyatalah bahawa beliau amat menghargai ilmu yang berkaitan dengan sifat-sifat Allah Taala kerana beliau sudah ada buku Sifat 20 sebelumnya iaitu Farīdah al-Farā’id fī ‘Ilm al-‘Aqā’id. Selasai ditulis pada petang hari Jumaat selepas asar 7 Syawal 1319 H. dan ditashih oleh Wan Ismail bin Syeikh Ahmad al-Fatānī, iaitu anak pengarang. Kitab ini telah dicetak beberapa kali dengan tidak memberi sebarang keterangan tentang tempat Percetakannya.
· العقد الفريد فى علم التوحيد (al-‘Iqd al-Farīd fī ‘Ilm al-Tauhīd) himpunan Wan Ismail bin Syeikh Ahmad al-Fatānī setebal 40 halaman. Padanya 16 halaman yang membicarakan sifat-sifat Allah Taala mengikut susunan al-Syaikh Ibrāhīm al-Bayjūrī iaitu mulai halaman 13 hingga halaman 28. Pada keseluruhannya, himpunan ini telah mengemukakan dalil akal kecuali pada beberapa sifat yang disertai dalil al-Quran. Selesai ditulis pada 15 Syaaban 1341 H. dan dicetak kali pertama di Muslim Press, Patani, seterusnya diulang cetak sehingga 16 kali.
· باكورة الامانى لارشاد عوام اهل الفطانى (Bākūrah al-Amānī li Irsyād ‘Awām Ahl al-Fatānī) karangan Ismail bin Abdul Qadir al-Fatānī mengenai Sifat 20 mengikut susunan al-Syaikh Ibrāhīm al-Bayjūrī. Mengikut keterangan bekas menantunya iaitu Haji Abdul Rahman Ahmad (1930-2008 M.), Tuan Guru Pondok Pombing dan pengasas Ma’had al-Thaqāfah al-Islāmiyyah atau Watnatham Islam, Pombing, Penarik, Patani kitab ini ditulis dengan maksud untuk mempermudah bahasa kitab Farīdah al-Farā’id fī ‘Ilm al-‘Aqā’id di samping untuk menghidupkan dialek Patani. Selain itu, muridnya Haji Wan Ya‘qub, Kuwing Hitam, Macang, Kelantan menerangkan bahawa kitab ini ditulis atas permintaan murid-muridnya di Kedah dengan tujuan membuat pendekatan dalam permasalahan ilmu Usuluddin yang sangat rumit (Ahmad Fathy al-Fatani, 1996 : 111 dan 2001 : 195). Siap ditulis pada malam Sabtu 14 Rejab 1335 H. Oleh sebab risalah Bākūrah al-Amānī li Irsyād ‘Awām Ahl al-Fatānī terlalu pendek, maka diminta memperluas supaya dapat menambah lagi pemahaman murid-murid, siap pada hari Khamis 25 Muharam 1358 H. sebuah syarahan Tabassarah al-Adānī bi Alhān Bākūrah al-Amānī atau Memperlatas bag Orang-orang Lekeh Mendapat Akan Tengka-tengkakan dan Siringan-siringan Cakapan Bākūrah al-Amānī. Kedua-keduanya setebal 30 halaman, dicetak berulang kali di Percetakan Patani, Patani dan Percetakan Persam, Pulau Pinang. Kitab ini juga telah menjadi teks pengajian ilmu Usul atau Akidah di beberapa pondok yang berada di sekitar kawasan selatan Thailand, Kelantan dan Kedah.
· ايضاح المرام لتحقيق سبل السلام (Īdāh al-Murām li Tahqīq Subul al-Salām) karangan Ismail bin Abdul Qadir al-Fatānī dalam bahasa Melayu tulisan jawi yang mudah difahami setebal 21 halaman. Di dalamnya membicarakan mengenai Sifat 20 mengikut susunan al-Syaikh Ibrāhīm al-Bayjūrī, sifat bagi pesuruh Allah Taala dan dalil-dalil akal. Siap ditulis pada hari Rabu akhir bulan Safar 1336 H. dan dicetak berulang kali di Percetakan Patani, Patani.
· تهذيب اللباسين في بيان عقائد الإيمان (Tahdhīb al-Labbāsīn fī Bayān ‘Aqā’id al-Īmān) karangan Abdullah bin Muhammad dalam bahasa Melayu tulisan jawi setebal 13 halaman serta kulit. Membicarakan mengenai Sifat 20 mengikut susunan al-Syaikh Ibrāhīm al-Bayjūrī serta mengemukakan dalil naqli daripada al-Quran di samping dalil akal. Pada 16 Zulhijah 1364 H. karangan ini telah dicetak kali pertama di Percetakan Patani, Patani.
· مبحث الكلام في علم الكلام (Mabhath al-Kalām fī ‘Ilm al-Kalām) karangan Abdul Qadir bin Wangah dalam bahasa Melayu tulisan jawi setebal 24 halaman. Padanya bahasan mengenai Sifat 20 mengikut susunan al-Syaikh Ibrāhīm al-Bayjūrī. Selesai ditulis di Mekah pada 10 hari bulan Jamadilakhir 1374 H. Karangan ini telah dicetak bersama-sama dengan sebuah risalah yang amat kecil iaitu Mabda’ al-Fikrah fī al-Maqūlāt al-‘Asyarah di Percetakan Patani pada 5 Ramadan 1376H.
· أساس الاعتقاد لضعفاء البلاد (Asās al-I‘tiqād li Du‘afā’ al-Bilād) karangan Abdul Qadir bin Wangah untuk orang-orang awam dengan menggunakan bahasa Melayu tempatan tulisan jawi. Karangan ini merupakan sebuah risalah kecil setebal 24 halaman sahaja. Di dalamnya terdapat perbahasan hukum-hukum akal secara sepintas lalu, diikuti dengan perbahasan Sifat 20 mengikut susunan al-Syaikh Muhammad bin al-Syāfi‘ī al-Fadālī secara mempermudah huraiannya seperti berdalil dengan tanam-tanaman dan diakhiri dengan perbahasan tentang sifat-sifat Rasul. Siap ditulis di pondoknya Wakaf Budi, Sekam pada hari Selasa 14 hari bulan Syawal 1376 H. dan dicetakkan kemudiannya di Muslim Press, Patani pada 1 hari bulan Jamadilawal 1407 H.
· تقريب الإخوان فى تعلم عقائد الإيمان (Taqrīb al-Ikhwān fī Ta‘allum ‘Aqā’id al-Īmān) karangan Abdul Qadir bin Wangah dalam bahasa Melayu tulisan jawi setebal 37 halaman. Di dalamnya terdapat perbahasan mengenai Sifat 20 mengikut susunan al-Syaikh Ibrāhīm al-Bayjūrī. Selesai ditulis pada 3 Zulhijah 1378 H. dan dicetak beberapa kali di Muslim Press, Patani. Risalah ini telah dihuraikan kemudiannya oleh seorang murid beliau yang terkenal di selatan Thailand dengan nama Haji Ail Sepanjang. Syarahan tersebut berbentuk kaset dalam bahasa Melayu Patani sebanyak 26 siri, mudah didapati di kedai-kedai buku di selatan Thailand khususnya di pondok Dala, Yaring, Patani.
· تسهيل الضعفاء ورد بعض أقوال السفهاء (Tashīl al-Du‘afā wa Radd Ba‘d Aqwāl al-Sufahā’) karangan Abdul Qadir bin Wangah dalam bahasa Melayu tulisan jawi setebal 35 halaman. Risalah ini merupakan sebuah risalah untuk orang-orang awam yang mulai belajar akaid agama, di dalamnya terdapat 11 halaman yang membicarakan Sifat 20 mengikut susunan al-Syaikh Ibrāhīm al-Bayjūrī dan terdapat juga beberapa jawapan kepada beberapa bantahan terhadap risalah-risalah beliau yang ditulis sebelum ini. Selesai ditulis pada akhir Rajab 1385 H./1965 M. dan dicetak kemudiannya di Muslim Press, Patani.
· تبيين كذ ب المفترى فيما يتعلق بالبارى (Tabyīn Kadhb al-Muftarī fī Mā Yata‘allaq bi al-Bārī) karangan Abdul Qadir bin Wangah dalam bahasa Melayu tulisan jawi setebal 40 halaman. Risalah ini merupakan sebuah risalah yang menolak perkara yang disalah tafsir dalam soal mustahil, hukum akal, sifat Kalam khusus yang berkaitan dengan Asās al-I‘tiqād li Du‘afā’ al-Bilād, Tashīl al-Du‘afā wa Radd Ba‘d Aqwāl al-Sufahā’, Taqrīb al-Ikhwān fī Ta‘allum ‘Aqā’id al-Īmān. Siap ditulis pada akhir Muharam 1388H. dan dicetak kemudiannya di Teman Pustaka Press, Patani.
· وسائل علم الكلام ورأ فة ورحمة للعوام (Wasā’il ‘Ilm al-Kalām wa Ra’fah wa Rahmah li al-‘Awām) karangan Abdul Qadir bin Wangah dalam bahasa Melayu tulisan jawi setebal 23 halaman. Risalah ini dimulai dengan hukum-hukum akal secara lebih mendalam, diikuti dengan perbahasan sifat Wujūd dan Qidam dan diakhiri dengan peringatan kepada keadaan syurga dan neraka. Selesai ditulis pada 22 Syawal 1392H. dan dicetak beberapa kali di Muslim Press, Palas, Patani.
· توحيد (Tauhid) keluaran Kementerian Pelajaran dalam bahasa Melayu tulisan jawi setebal 63 halaman untuk menjadi sebuah kurikulum ilmu Tauhid kelas tiga di Sekolah Swasta Mengajar Agama Islam mengikut kurikulum pengajian Islam Ibtida tahun 2523 B./1980 M. Di dalamnya 54 halaman yang membicarakan dua puluh yang wajib bagi Zat Allah Taala dan sebahagian sifat yang mustahil bagi-Nya serta dalil-dalil naqli dan tanda-tanda akal mengikut susunan al-Syaikh Ibrāhīm al-Bayjūrī. Buku ini mulai dicetak di Percetakan Khu’ru’ Spa, Ladpraw, Bangkok pada tahun 2528 B./1985 M.
· رسالة المصباح المنير فى معرفة الله القدير (Risālah al-Misbāh al-Munīr fī Ma‘rifah Allah al-Qadīr) karangan Abdul Aziz bin Ismail al-Fatānī dalam bahasa Melayu tulisan jawi setebal 43 halaman. Kandungannya tentang agama, rukun Islam, iman, ihsan, hukum syarak, hukum adat, hukum akal dan ilmu Usuluddin atau yang dikatakan dengan Sifat 20 mengikut susunan al-Syaikh Ibrāhīm al-Bayjūrī. Siap ditulis di rumah Haji Wan Ahmad bin Haji Wan Ibrahim Kampung Paluh, Bunut Payung, Kelantan pada jam enam petang waktu Malaysia, hari Ahad 2 Jamadilawal 1409 H. bersamaan dengan 1989 M. dan dicetak beberapa kali di Percetakan Pustaka Aman, Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.
· ميزان الذ راري فد ترجمة دان منراغكن كتاب تيجان الد راري بشرح رسا لة الباجوري (Mīzān al-Dharārī pada Terjemah dan Menerangkan Kitab Tijān al-Darārī bi Syarh Risālah al-Bājūrī) [sic al-Bayjūrī] karangan Ismail bin Omar setebal 58 halaman sebagai terjemahan dan keterangan kepada kitab Tijān al-Darārī bi Syarh Risālah al-Bājūrī [sic al-Bayjūrī] karangan Syeikh Muhammad Nawawi al-Bintanī al-Jāwī mengikut susunan al-Syaikh Ibrāhīm al-Bayjūrī. Selesai ditulis pada 1423 H./2002 M. dan dicetak kali pertama di Muslim Press, Pattani.

Sebahagian besar kitab ulama Patani masih dipelajari oleh masyarakat Islam di kawasan selatan Thailand dan juga oleh sebahagian masyarakat Islam di Malaysia, terutama sekali di institusi pendidikan pondok, di masjid-masjid dan di surau-surau (Worawit Baru, 1991 : 60).

4. Kesimpulan

Pada awal abad ke-18M., tokoh ulama selatan Thailand sudah mendengar ajaran Sifat 20. Seterusnya, pada awal abad ke-19M., Syeikh Daud mulai bertanggungjawab untuk memperkenalkan ajaran tersebut kepada para penuntut di alam Melayu khususnya selatan Thailand dan disebar luas kemudiannya oleh tokoh ulama yang begitu ramai seperti Syeikh Ahmad. Dengan itu, banyak kitab warisan ajaran sifat 20 yang telah dipelajari oleh para penduduk Muslim di selatan Thailand. Kitab-kitab warisan tersebut dapat dibahagikan kepada dua bahagian iaitu kitab-kitab karangan ulama asing dan kitab-kitab karangan ulama tempatan.


RUJUKAN

Buku:

Abdul Aziz bin Ismail al-Fatani (1994). Risalah al-Misbah al-Munir fi Ma‘rifah Allah al-Qadir, 3rd ed. Kota Bharu: Pustaka Aman Press Sdn. Bhd.

Abdullah bin Haji Ibrahim al-Jabi al-Fatani, Haji (1389 H.). ‘Umdah al-Talib al-Mujtahid fi Syarh Faridah al-Fara’id, 2nd ed. Patani: Patani Press.

Abdullah bin Muhammad (1368 H.). Tahdhib al-Labbasin fi Bayan ‘Aqa’id al-Iman. Patani: Patani Press.

Abdul Qadir bin Wangah (1376 H.). Mabhath al-Kalam fi ‘Ilm al-Kalam. Patani: Patani Press.

__________, (1407 H.) Asas al-I‘tiqad li Du‘afa’ al-Bilad. Patani: Muslim Press.

__________, (1411 H.) Taqrib al-Ikhwan fī Ta‘allum ‘Aqa’id al-Iman, 2nd ed. Patani: Muslim Press.

__________, (t.th.) Tabyin Kadhb al-Muftari fi Ma Yata‘allaq bi al-Bari. Patani: Teman Pustaka Press.

__________, (t.th.b) Tashil al-Du‘afa wa Radd Ba‘d Aqwal al-Sufaha’. Patani: Muslim Press.

__________, (t.th.c) Wasa’il ‘Ilm al-Kalam wa Ra’fah wa Rahmah li al-‘Awam. Patani: Muslim Press.

Ahmad bin Muhammad Zain al-Fatani, Syeikh (t.th.) Farīdah al-Farā’id fī ‘Ilm al-‘Aqā’id. Pulau Pinang: Dār al-Mu‘ārif.

__________, (t.th.b) ‘Unwan al-Falah wa ‘Unfuwan al-Salah. t.k.: t.p.

Ahmad Fathy al-Fatani (1996) Pak Da Ail Patani (1882-1965). Dalam Tokoh-tokoh Ulama’ Semenanjung Melayu (2) (Ismail Che Daud, ed.), m.s. 99-117. Kota Bharu: ZulRahim Sdn. Bhd.

__________, (2001) Ulama Besar dari Patani. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.

Azyumardi Azra (1995). Jaringan Ulama Timur Tengah dan Kepulauan Nusantara Abad XVII dan XVIII : Melacak Akar-akar Pembaharuan Pemikiran Islam di Indonesia, 2nd ed. Bandung: Mizan.

Al-Bayjuri, al-Syaikh Ibrahim (1269 H.). Hasyiyah al-‘Allamah al-Bayjuri ‘ala Matn al-Sanusiyyah. Misr: ‘Abd al-Hamid Ahmad Hanafī.

Bruinessen, Martin Van (1995). Kitab Kuning Pesantren dan Tarikat, 2nd ed. Bandung: Mizan.

Daud bin Abdullah al-Fatani, Syeikh (t.th.). Al-Durr al-Thamīn fī Bayān ‘Aqā’id al-Mu’minīn. Pulau Pinang: Almuarif.

Al-Dusuqi, al-Syaikh Muhammad (t.th.). Hasyiyah al-Dusuqi ‘ala Umm al-Barahin. Bangkok: Muhammad Nahdi wa Awladah.

Al-Fadali, al-Syaikh Muhammad bin al-Syafi‘i (t.th.). Kifayah al-‘Awam fī ‘Ilm al-Kalam. Bangkok: Muhammad Nahdiwa Awladah.

Hasan Madmarn (2002). The Pondok & Madrasah in Patani, 2nd ed. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.

Husain bin Unang (1994). Qāmūs al-Tullāb Arabī-Malāyūwī. Kuala Lumpur: Dār al-Fikr.

Ismail bin Abdul Qadir al-Fatani (1389 H.). Idah al-Muram li Tahqiq Subul al-Salam. Patani: Patani Press.

___________, (1393 H.) Bakurah al-Amani li Irsyad ‘Awam Ahl al-Fatani. Patani: Patani press.

Ismail bin Omar al-Da‘alaji al-Sapanjanji al-Fatani (t.th.). Mizan al-Dharari pada Terjemah dan Menerangkan Kitab Tijan al-Darari bi Syarh Risalah al-Bajuri Patani: Muslim Press.

Mahayudin Haji Yahaya (2000) Karya Klasik Melayu-Islam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mahmud Yunus (1973). Kamus Arab-Indonesia. Jakarta: Yayasan Penyelenggara Penterjamah/Pentafsiran al-Qur’an.

Mat Rofa Ismail (1997). Mantik dalam Babak Pemikiran Ilmiah Tamadun Manusia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mohd. Zamberi A. Malek (1994) Patani dalam Tamadun Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mudasir Rosder (1989). Asas Tauhid Pertumbuhan dan Huraiannya. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Muhammad Zain bin Faqih Jalaluddin al-Asyī, Syeikh (1342). Bidāyah al-Hidāyah. Misr: Mustafā al-Bābī al-Halabī wa Awlāduh.

Muhammad Zainuddin bin Muhammad Badawi al-Sumbawi, Syeikh (t.th). Siraj al-Huda pada Menyatakan Akidah Ahl al-Taqwa. Singapura: Sulayman Mar‘i.

Al-Sanusi, al-Imam Muhammad bin Yusuf (1330 H., 1368 H. dan t.th.). Matn Umm al-Barahin. l.v.

Al-Syarqawi, al-Syaikh ‘Abd Allah bin Hijazi (1948). Hasyiyah al-Syaikh ‘Abd Allah bin Hijazi al-Syarqawi ‘ala Syarh al-Imam al-‘Allamah Muhammad bin Mansur al-Hudhudi ‘ala Umm al-Barahin, 3rd ed. Misr : Mustafa al-Babi al-Halabi wa Awladuh.

Wan Ismail bin Syeikh Ahmad al-Fatani (1341 H.). Al-‘Iqd al-Farid fī ‘Ilm al-Tauhid. Patani: Muslim Press.

Wan Mohd. Shaghir Abdullah, Haji (1976) Syaikh Abdurrauf bin Ali al-Fansuri. Dalam Tokoh-tokoh Sastera Melayu Klasik (Mohammad Daud Mohammad, ed.), m.s. 63-71. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

__________, (1990) Fari-datul Fara-id Syeikh Ahmad al-Fathani. Kuala Lumpur: Khazanah Fathaniyah.

__________, (1999) Penyebaran Islam & Silsilah Ulama Sejagat Dunia Melayu, Jil. 7. Kuala Lumpur: Persatuan Pengkaji Khazanah Klasik Nusantara & Khazanah Fathaniyah.

Worawit Baru (1991). Patani dalam Konteks Dunia Melayu. Dalam Dunia Melayu (Mohd. Yusof Hashim, ed.), m.s. 56-73. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Zainal Abidin bin Muhammad al-Fatani, Syeikh (t.th.). ‘Aqidah al-Najin fī ‘Ilm Usul al-Din. Bangkok: Muhammad Nahdi wa Awladah.

___________, (t.th.b) Miftah al-Murid fi ‘Ilm al-Tauhid. Pulau Pinang: Persam.

Mikrofilem:

Tanpa pengarang (t.th.). ‘Umdah al-Muhtajin ila Suluk Maslak al-Mufarridin. Perpustakaan Hamzah Sendut I, Universiti Sains Malaysia, Microfilm 2912.

[1] Dr. Masakaree Ardae dilahirkan pada 13 November 1971 di Kampung Ternang, Panarek, Patani, Thailand dan mendapat pendidikan daripada Sekolah Swasta Mengajar Agama Islam (1989), Ma‘had al-Bu‘uth (1990), Universiti al-Azhar (1994), Ma‘had al-Dirasat al-Islamiah (1996), Universiti al-Zaitunah (1998), Prince of Songkla University (2001) dan Universiti Sains Malaysia (2008).
[2] Al-Imam Al-Sanusi iaitu Abu ‘Abd Allah, Muhammad bin Yusuf bin ‘Umar bin Syu‘ayb Al-Sanusi Al-Hasan Al-Asy‘ari Al-Maliki Al-Tilimsani Al-Maghribi (1428-1490M.) seorang ulama yang berakidah Al-Asy‘ari dan fikah Maliki juga pembangun Islam di utara Afrika pada abad 9H./15M.
[3] Syeikh Abdul Rauf Singkil (1024-1106 H./1615-1695 M.) iaitu Syeikh Abdul Rauf bin Ali Al-Fansuri yang lebih terkenal dengan sebutan Syeikh Abdul Rauf, banyak mempunyai gelaran seperti Syeikh Kuala, Syeikh di Kuala atau Ciah Kuala, Tengku Ciah Kuala dan Abdul Rauf van Singkil. Beliau berasal dari Fansur (Barus), Singkil, Aceh (Sumatera Barat) (Wan Mohd. Shaghir Abdullah, 1976 : 63). Beliau mendapat pendidikan awal di desa kelahirannya, terutama daripada ayahnya. Kira-kira pada tahun 1052 H./1642 M. beliau datang ke tanah Arab. Selama di negeri Arab, beliau menuntut ilmu pengetahuan di sepanjang jalan haji, dari Dhuha, Yaman, Jeddah dan Akhirnya di Mekah dan Madinah (Azyumardi Azra, 1995 : 192-3). Pada tahun 1661M. beliau kembali ke Aceh setelah menghabiskan masa dalam buku pelajaran tidak kurang dari 19 tahun (Bruinessen, 1995 : 192). Pada tahun 1665 M. beliau dilantik menjadi Qadi Malik al-‘Adil atau Mufti kerajaan Aceh Dar al-Salam pada zaman Ratu Safiatuddin (Mahayudin Haji Yahaya, 2000 : 51). Syeikh Abdul Rauf Singkil dikenali sebagai pembawa tarekat Syattariyyah ke Indonesia. Gurunya yang paling penting di Madinah ialah Burhan al-Din Malik Ibrahim anak Hasan Al-Kurani Al-Syafi‘i Syattari (1023-1101H./1615-1690 M.) atau Ibrahim Al-Kurani. Pada ketika itu Burhan al-Din Malik Ibrahim adalah ulama yang paling besar di Madinah, dan murid-muridnya datang dari seluruh dunia Islam (Bruinessen, 1995 : 46) dan ia merupakan penerus salah satu aliran tasawuf Mesir iaitu tradisi yang diwakili oleh Zakariyya Al-Ansari dan muridnya ‘Abd al-Wahhab Al-Syi‘rani (Bruinessen, 1995 : 68).
[4] Untuk maklumat lebih lanjut lihat Penyebaran Islam & Silsilah Ulama Sejagat Dunia Melayu, Jilid 7, karangan Wan Mohd. Shaghir Abdullah halaman 45-54.
[5] Hamisy ertinya pinggir halaman kitab (Mahmud Yunus, 1973 : 486) atau tepi kitab (Husain bin Unang, 1994 : 1062).