Ahad, 19 Julai 2009

The 4th ISDEV International Graduate Workshop (INGRAW2009), USM.

54
SEJARAH KEMUNCULAN DAN PERKEMBANGAN AJARAN SIFAT 20
DI ALAM MELAYU

Dr. Masakaree Ardae @ Nik Muhammad Syukri Nik Wan Al-Fatani
Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV),

Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan,

Universiti Sains Malaysia,

11800 Minden,

Pulau Pinang.

Tel: 04-6532910



Abstrak:


Ramai ulama Islam yang mencampurkan penulisan ilmu akidah ketuhanan dengan ilmu falsafah. Percampuran ini menimbulkan kesamaran tentang fahaman akidah orang Islam. Dalam rangka menyelesaikan permasalahan tersebut, Al-Imām Al-Sanūsī memperkenalkan sebuah ajaran yang mudah difahami iaitu Sifat 20 dan menjadi pilihan bagi kebanyakan ulama di pusat-pusat pengajian Islam di merata tempat. Namun, bilakah munculnya ajaran tersebut di alam Melayu dan sejauh manakah perkembangannya? Memandangkan persoalan tersebut belum dibincang secara serius oleh mana-mana pengkaji, maka kertas kerja ini cuba memecahkan persoalan tersebut. Sehubungan dengan itu, objektif kertas kerja ini adalah untuk merongkai kesejarahan dan perkembangan ajaran Sifat 20 di alam Melayu. Bagi mencapaikan objektif tersebut kajian ini menggunakan analisis kandungan melalui data-data sekunder (iaitu kajian keperpustakaan). Dapatan kajian menunjukkan bahawa ajaran Sifat 20 telah muncul kali pertama di utara Afrika pada abad ke-15M. dan tersebar kemudiannya ke alam Arab. Pada abad ke-17M. ia telah terdedah pada alam Melayu melalui penulisan-penulisan beberapa orang ulama antaranya Ahmad bin Aminuddin Qadhī, Al-Syaikh Nūr al-Dīn al-Ranīrī dan Syeikh Abdul Rauf Singkil. Pada abad ke-18M. penulisan Sifat 20 Umm al-Barahin mulai diterjamahkan ke dalam bahasa Malayu oleh Syeikh Muhammad Zain Faqih Jalaluddin Al-Asyī, diikuti dengan Syeikh Daud bin Abdullah Al-Fatānī dan disebar luas kemudiannya oleh Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain Al-Fatānī pada abad ke-19M.

Kata Kunci: Sifat 20, Sifat Dua Puluh, Umm al-Barahin dan Al-Imam Al-Sanusi.

1. Pengenalan


Akidah Tauhid merupakan satu bidang ilmu yang paling tinggi kedudukannya dalam Islam kerana tujuan utama dijadikan manusia adalah untuk beribadat kepada Allah Taala, sebagaimana firman-Nya:

$tBur àMø)n=yz £`Ågø:$# }§RM}$#ur žwÎ) Èbr߉ç7÷èu‹Ï9 ÇÎÏÈ
Maksudnya : Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah-Ku (Al-Dhāriyāt : 56).

Justeru, ibadat kepada Allah Taala tidak akan berlaku kecuali dengan niat yang bererti sengaja beribadat kepada Tuhan, dan sengaja berbuat demikian bentuk tidak akan tercapai kecuali dengan mengenal Allah Taala. Maka mengenal Allah Taala adalah suatu suruhan bagi setiap yang bermukalaf, adapun zan dan taklid tidak memadai dalam bidang akidah (Al-Syāfi‘ī, t.th : 7) sebagaimana firman Allah Taala:

óOn=÷æ$$sù ¼çm¯Rr& Iw tm»s9Î) žwÎ) ª!$#
Maksudnya : Maka ketahuilah bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah (Muhammad : 19).

2. Kemunculan Ajaran Sifat 20
Mengikut catatan Ibn Khaldūn (732-808H./1332-1406M.) ternyata bahawa ramai di kalangan ulama-ulama Islam yang terkemudian lebih banyak terpengaruh dengan ilmu falsafah. Mereka menghimpunkan beberapa jenis ilmu akal yang berbeza-beza menjadi satu ilmu sehingga berlakunya percampuran dalam penulisan ilmu akidah ketuhanan dengan ilmu falsafah yang sukar dibezakan antara satu sama yang lain (Ibn Khaldūn, 1996 : 432). Antaranya ialah Asās al-Taqdīs fī ‘Ilm al-Kalām karya Fakhr al-Din Al-Rāzī (544-606H./1149-1209M.) seorang ulama kelahiran Tabrustan (Azerbaijan), Tawāli’ al-Anwār karya Nāsir al-Dīn Abu Sa‘īd ‘Abd Allāh bin ‘Umar bin Muhammad Al-Baydāwī Al-Syīrāzī (m.685H./1286M.) seorang ulama kelahiran Baydā’, Shirāz, Iran dan Al-Mawāqif fī ‘Ilm al-Kalām karya Abd al-Rahmān bin Ahmad bin Abd al-Ghaffār bin Fadl atau yang lebih dikenali dengan Al-Qādī ‘Idd al-Dīn Al-Ījī (m.756H./1355M.) seorang ulama kelahiran Īj, Shirāz.

Percampuran ini menimbulkan kesamaran tentang fahaman akidah orang Islam dan orang ramai (orang awam), seterusnya menjadi keliru dalam soal-soal ketuhanan (Mudasir Rosder, 1989 : 62 dan Abdul Aziz Ambak bin Haji Ismail, 1991 : 82). Seterusnya dipelajari dengan cara ikut-ikutan, tanpa menggunakan fikiran sendiri. Kerananya terhentilah kemajuan ilmu pengetahuan (‘Abduh, 1979 : 54).

Melimpah padanya [zaman Al-Imām Al-Sanūsī] lautan kejahilan dan tersebar padanya [zaman Al-Imām Al-Sanūsī] kebatilan (Al-Sanūsī, t.th.b : 15).

Dalam rangka menyelesaikan permasalahan tersebut, Al-Imām Al-Sanūsī iaitu Abū ‘Abd Allāh, Muhammad bin Yūsuf bin ‘Umar bin Syu‘ayb Al-Sanūsī Al-Hasanī Al-Asy‘arī Al-Mālikī Al-Tilimsānī Al-Maghribī (1428-1490M.) seorang ulama yang berakidah Al-Asy‘arī dan fikah Mālikī juga pembangun Islam di utara Afrika pada abad 9H./15M. telah mengasingkan perbahasan yang berkaitan dengan akidah di samping mengemukakan pandangan yang jelas dan bukannya fakta-fakta yang beraneka falsafah. Hasil usaha Al-Imām Al-Sanūsī ini dinamakan dengan Umm al-Barāhīn disebut juga ‘Aqīdah Ahl al-Tauhīd al-Sughrā atau Risālah Al-Sanūsiyyah.

Maka sebahagian daripada yang wajib bagi Tuhan kita Yang Maha Besar dan Yang Maha Mulia dua puluh sifat iaitu al-Wujūd [Ada], al-Qidam, al-Baqā’, Mukhālafatuhu Ta‘ālā li al-Hawādith [Menyalahi atau berlaianan Allah Taala dengan segala yang baharu], Qiyāmuhu Ta‘ālā bi Nafsih [berdiri Allah Taala dengan sendiri-Nya]…, al-Wahdāniyyah [Tunggal]…, maka ini enam sifat, bermula yang pertamanya Nafsiyyah [yang menunjukkan diri sendiri] iaitu al-Wujūd dan yang lima kemudiannya Salbiyyah [yang menunjukkan negatif], kemudian wajib bagi-Nya Taala tujuh sifat yang dinamai akan dia sifat al-Ma’ānī [yang menunjukkan beberapa makna] iaitu al-Qudrah, al-Irādah…, al-‘Ilm…, al-Hayāh…, al-Sam‘, al-Basar…dan Kalām …kemudian tujuh sifat yang dinamai akan dia sifat Ma‘nawiyyah [relatif dengan beberapa makna] iaitu yang melazimkan tujuh yang pertama iaitu Kaunuhu Ta‘ālā Qādiran [Keadaan-Nya Yang Berkuasa], Murīdan [Yang Berkehendak], ‘Āliman [Yang Mengetahui], Hayan [Yang Hidup], Samī‘an [Yang Mendengar], Basīran [Yang Melihat] dan Mutakalliman [Yang Berkata-kata] (Al-Sanūsī, t.th : 12-13).

Setelah beliau membahas bahagian-bahagian yang wajib bagi Zat Allah Taala, beliau membahas pula bahagian-bahagian yang absurd atau mustahil bagi-Nya sebagai lawan bagi bahagian-bahagian yang wajib tadi dan diikuti dengan bahagian yang harus atau jaiz bagi Allah Taala.

Dari sini muncullah ajaran Tauhid Formalistik yang terkenal kemudinnya dengan namanya “Sifat 20”. Semua perkembangan seperti ini diterima baik oleh para ulama dengan menyifatkannya sebagai ajaran Ahli Sunah Waljamaah. Dari segi ini, yang dimaksudkan dengan Ahli Sunah Waljamaah ini tetap sebagai suatu aliran Usuluddin atau Kalam (Abdul Rahman Haji Abdullah, 1989 : 82).

Ajaran Sifat 20 telah mendapat tempat yang paling tinggi dan ia merupakan kitab rujukan penting dalam bidang akidah Islam di merata tempat.

Bahawasanya ialah kitab yang kecil pada bicara akidah yang terlebih masyhur pada segala Arab dan Jawi dan Turki dan Hindi dan lainnya akan membaca segala mereka itu akan dia serta diamalkan segala barang yang tersebut di dalamnya (Syeikh Muhammad Zainuddin bin Muhammad Badawi Al-Sumbāwī, t.th. : 2).

Kitab terakhir ini [Umm al-Barāhīn] tidak begitu besar, akan tetapi besar pengaruhnya dalam dunia aliran Asy‘ariyyah, sehingga banyak yang memberikan ulasan kitab tersebut (A. Hanafi, 1974 68).

3. Nama-nama Ajaran Sifat 20


Ajaran Sifat 20 yang semata-mata membicarakan soal-soal kepercayaan telah dikenali dengan pelbagai nama, sekurang-kurang terdapat sembilan nama yang dikenali, antaranya adalah Sifat 20, ‘Ilm al-Tauhīd, ‘Ilm Usūl atau Usūl al-Dīn, ‘Ilm al-‘Aqā’id, Akidah Lima Puluh, ‘Ilm al-Kalām, ‘Ilm al-Jadal, ‘Ilm Ma‘rifah dan ‘Ilm Haqīqah, tetapi yang paling terkenal di alam Melayu adalah dengan gelaran Sifat20. Kadang kala disebut juga dengan Usūl ringkasan daripada perkataan ‘Ilm Usūl al-Dīn.

Digelarkan dengan Sifat 20 kerana perbahasan yang terpenting dalam penulisan ini ialah batasan dua puluh sifat ketuhanan Allah Taala yang mustahak dipercayai oleh setiap Muslim mukalaf pada peringkat yang paling minimum tentang akidah ketuhanan.

Di Indonesia ada orang-orang menamainya dengan Ilmu Sifat Dua Puluh, kerana di dalam ilmu ini dibicarakan 20 sifat yang wajib (mesti ada) bagi Tuhan (Sirajuddin Abbas, 1978 : 16).

Di kalangan orang-orang kita, ilmu ini dinamakan Ilmu Sifat Dua Puluh, kerana perbahasan yang terpenting sekali di dalam ilmu ini ialah tentang sifat-sifat Ketuhanan Allah yang ditetapkan oleh para ulama Tauhid kita; ada dua puluh sifat (Osman bin Jantan, 1986 : 10).

Kaedah Sifat Dua Puluh iaitu Allah itu mempunyai dua puluh sifat yang mustahak diketahui oleh setiap umat Islam (Alyahya, 1991 : 2).

Puncanya diberi judul sifat 20 itu kerana dalam kitab tersebut membataskan 20 sifat yang wajib itu wajib diketahui oleh setiap orang mukalaf pada peringkat yang paling minima tentang akidah ketuhanan atau ma‘ifah [sic makrifat] Allah (Abdul Aziz Ambak bin Haji Ismail, 1991 : 82).

Adapun gelaran ‘Ilm Usūl al-Dīn adalah kerana perkataan Usūl berertinya tunjang, asas, pokok atau pangkal, dan perkataan Al-Dīn ertinya agama. Maka perkataan ‘Ilm Usūl al-Dīn ertinya ilmu yang membicarakan tentang tunjang agama, asas agama, pokok agama atau pangkal agama tentang iktikad.

Mengikut para penulis dalam bidang akidah di alam Melayu seperti Sirajuddin Abbas (m.1403H./1982M.), Osman bin Jantan, Abdu Aziz Omar Ahmad dan Noraine Abu dinamakan dengan ‘Ilm Usūl al-Dīn kerana ilmu ini membahaskan dan menerangkan perkara-perkara yang berkaitan dengan perkara pokok dalam Islam antaranya soal-soal iktikad, iman atau kepercayaan yang menjadi pokok Agama, iaitu: sifat-sifat yang berkaitan ketuhanan (Lihat Sirajuddin Abbas, 1978 : 15, Osman bin Jantan, 1986 : 10, Abdul Aziz Omar Ahmad, 2001 : 3 dan Noraine Abu, 2001 : 8).

4. Ajaran Sifat 20 Di Alam Melayu


Apabila akidah Tauhid merupakan satu bidang ilmu yang paling tinggi kedudukannya dalam Islam dan ajaran Sifat 20 telah mendapat tempat yang paling tinggi di merata tempat. Namun, bilakah munculnya ajaran tersebut di alam Melayu dan sejauh manakah perkembangannya?

Di alam Melayu, terdapat sebuah manuskrip (tanpa judul, tanpa pengarang dan tanpa tahun) petikan kitab Bahr al-Dahūt (Lahūt) yang ditulis pada abad ke-6H./12M.) oleh ‘Abd Allāh al-‘Ārif seorang pendakwah Arab Andalusia yang dilahirkan pada 472H./1080M. dan tiba di Pasai (terletak di Lhokseumawe sekarang di provinsi Aceh, Sumatera) pada 1165M. Dalam manuskrip tersebut tercatat perkatakan “bermula inilah Sifat Dua Puluh” (Tanpa pengarang, 1994 : 1).

Sebenarnya kitab Bahr al-Dahūt (Lahūt) adalah sebuah kitab yang memberikan tumpuan kepada perbincangan beberapa sifat Allah Taala berkaitan dengan teori Nūr Muhammad, bukanlah kitab yang membicarakan tentang Sifat 20 secukupnya kerana pengertian Sifat 20 belum lagi wujud pada masa itu, tetapi oleh sebab perbahasan hampir sama dengan perbahasan Sifat 20, maka pemetik terkemudian yang pernah mendengar konsep Sifat 20 dan ingin mempopularkannya, mereka sedia memperkatakan apa-apa sahaja untuk kepentingannya.

Mahayudin Haji Yahaya dalam Islam di Alam Melayu berpendapat bahawa penulisan Sifat 20 telah diterjemahkan kepada bahasa Melayu pada abad ke-15M. (Mahayudin Haji Yahaya, 1998 : 44). Sebenarnya, pendapat ini tidak disertai dengan apa-apa bukti yang dapat meyakinkan dan ia juga terlalu awal apabila dibandingkan dengan kematian Al-Imām Al-Sanūsī iaitu pada akhir abad ke-15M. dan juga sejarah perkembangan penulisannya.

Abdul Rahman Haji Abdullah telah mengemukakan bahawa Sifat 20 yang paling ulung di Nusantara adalah pada akhir abad ke-11H./17M. dalam kitab tasawuf karangan Syeikh Abdul Rauf Singkil[1] yang bertajuk ‘Umdah al-Muhtājīn ilā Sulūk Maslak al-Mufarridīn (Abdul Rahman Haji Abdullah, 1990 : 108).

Sebenarnya, masih terdapat tulisan-tulisan yang membicarakan Sifat 20 sebelumnya. Mengikut Wan Mohammad Shaghir Abdullah (m.1428H./2007M.) ahli tarikh ulama Nusantara dan karya-karya mereka, Sifat 20 pernah dibicarakan kali pertama oleh seorang ulama Kedah yang sezaman dengan Syeikh Syamsuddin Al-Sumatra’ī (m.1039H./1630M.) iaitu Ahmad bin Aminuddin Qadhī dalam sebuah Kitab Tauhid tanpa judul yang selesai ditulis pada tahun 1032H./1622M., manuskripnya ada tersimpan di Pusat Manuskrip Melayu, Perpustakaan Negara Malaysia, MS.1092 (Wan Mohd. Shaghir Abdullah, 1991 : 2 : 186). Selain ulama Kedah, ia turut dibicarakan oleh Al-Syaikh Nūr al-Dīn Al-Ranīrī[2](m.1069H./1658M.) dalam naskhah Jawāhir al-‘Ulūm fi Kasyf al-Ma‘lūm, Hidāyah al-Īmān bi Fadhl al-Mannān (Ahmad Daudy, 1983 : 95) dan dalam sebuah manuskrip yang terdapat di Royal Asiatic Society, London, Rafffes Malay 79, setebal 173 halaman bersama-sama, fragmen kitab Syifā’ al-Qulūb, ‘Umdah al-I‘tiqād dan fragmen-fragmen lain.

Pada abad ke-12H./18M., ajaran Sifat 20 telah menjadi sebuah kurikulum yang penting dalam sistem pengajian Islam di Mekah dengan menggunakan teks bahasa Arab sebagai teks rasmi dan terdapat beberapa orang guru di kalangan tokoh ulama Melayu yang mengajar, antaranya Syeikh Muhammad Zain Faqih Jalaluddin Al-Asyī (selepas ini akan disebutkan sebagai Syeikh Muhammad Zain). Pada zaman ini, ramai orang-orang Melayu mengunjungi Mekah untuk menyambung pengajian mereka di sana, tetapi oleh sebab kekurangan pengetahuan tentang bahasa Arab, maka muncul permasalahan dalam meneruskan pengajian mereka. Keadaan tersebut memaksa para guru memnyediakan teks berbahasa Melayu tulisan jawi, maka pada 1170H/1757M. lahirlah kitab Bidāyah al-Hidāyah karangan Syeikh Muhammad Zain sebagai huraian kepada penulisan Umm al-Barāhīn Al-Imām Al-Sanūsī dan menjadi teks pengajian ilmu Tauhid bagi para pelajar alam Melayu yang belum menguasai bahasa Arab.

Sungguhnya telah aku melihat pada zaman ini akan orang Jawi daripada kesangkatan ertinya daripada akal pada berlajar [sic belajar] dengan bahasa Arab, maka aku kehendak aku terjemahkan akan karangan imam yang lebih lagi warak iaitu Abū ‘Abd Allāh kunyahnya, Muhammad namanya, anak Yūsuf, Sanūsī nama negerinya, Hasanī bangsanya, yang reda Allah daripadanya, yang dinamai karangannya iaitu Umm al-Barāhīn dengan bahasa jawi, serta aku nyatakan maknanya dengan barang yang aku lihat akan dia pada setengah daripada beberapa syarah dan setengah daripada beberapa hasyiah dan aku himpunkan kepadanya setengah daripada beberapa faedah yang berkehendak kepadanya kerana memberi manfaat dengan dia segala orang yang baharu berlajar[sic belajar] dan aku namai akan dia Bidāyah al-Hidāyah (Syeikh Muhammad Zain, 1342 : 2).

Pada tahun 1212H./1797M. seorang ulama dari Batawi yang bernama Encik Kemering telah mengemukakan dalam tajuk Surat Sifat Dua Puluh. Penulisan ini terdapat di Perpustakaan School of Oriental and African Studies, Univesiti London, MS.11576 (Mahayudin Haji Yahaya, 2000 : 297 dan 329). Perlu diingatakan bahawa Syeikh Muhammad Zain yang telah selesai menulis Bidāyah al-Hidāyah di Mekah pada 1170H/1757M. tidak selamanya berperanan di situ, bahkan dia telah kembali ke Aceh dan menjadi seorang ulama terkemuka pada zaman Kesultanan Aceh pada masa pemerintahan Sultan Alauddin Muhammad Syah (1174-95H./1760-81M.). Dengan itu, sebuah terjemahan teks tulen penulisan Umm al-Barāhīn Al-Imām Al-Sanūsī yang disertai dengan huraian dalam bahasa Melayu turut terjana kali pertama di Nusantara sebelum wujudnya penulisan Encik Kemering.

Selepas kelahiran kitab Bidāyah al-Hidāyah, tidak berapa lama lahirlah beberapa buah hasyiah seperti Hāsyiyah Al-Syaikh ‘Abd Allāh bin Hijāzī Al-Syarqāwī ‘alā Syarh al-Imām al-‘Allāmah Muhammad bin Mansūr Al-Hudhudī ‘alā Umm al-Barāhīn karangan Al-Syarqāwī pada tahun 1194H., dikuti dengan Hāsyiyah Al-Dusūqī ‘alā Umm al-Barāhīn karangan Al-Dusūqī pada tahun 1214H. dan Hāsyiyah Al-‘Allāmah Al-Bayjūrī ‘alā Matn al-Sanūsiyyah karangan Al-Bayjūrī pada tahun 1227H.

Kelahiran hasyiah-hasyiah terbaru telah mendesak para ulama untuk mengubah teks pengajian dengan mengumpulkan pengetahuan-pengetahuan yang dimiliki oleh para ulama yang pakar dalam bidang ilmu Usuluddin dan Akidah. Dari sini lahirlah pula sebuah kitab dalam bahasa Melayu Al-Durr al-Thamīn fī Bayān ‘Aqā’id al-Mu’minīn karangan seorang ulama Patani yang pernah berguru dengan Syeikh Muhammad Zain iaitu Syeikh Daud bin Abdullah Al-Fatānī[3] (selepas ini akan disebutkan sebagai Syeikh Daud). Maka, dapat disalurkan dengan mudah kepada golongan sasaran yang tidak mahir berbahasa Arab.

Maka tatkala pada tahun 1232 daripada hijrah Nabi [1816M.] atas-Nya itu yang terlebih afdal selawat dan salam, telah bergerak-gerak hatiku yang lemah dan akalku yang pendek bahawa aku hendak mehimpunkan [sic menghimpunkan] beberapa kalam ulama yang muhaqqiqīn [menerangkan segala masalah dan disertai dengan dalil-dalil] pada bicara ilmu Usulluddin dan Akaid Ahl al-Tauhīd [Ahli Tauhid] dan aku sebutkan permata lu’lu’[mutiara]nya dan aku tinggalkan sadafnya yakni kulitnya hal keadaannya megemarkan [sic menggemarkan] bagi orang yang menuntut lagi keadaannya meterjemahkan [sic menterjemahkan] dengan bahasa jawi supaya dipaham akan dia oleh orang yang tiada ketahui bahasa Arab (Syeikh Daud, t.th. : 2).

Kedua-dua teks tersebut pada asalnya ditulis hanya untuk menjadi teks pengajian ilmu Tauhid dalam bahasa Melayu di Mekah bukan untuk tujuan lain tetapi tujuan tersebut telah berubah setelah kedatangan Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain Al-Fatānī[4](selepas ini akan disebutkan sebagai Syeikh Ahmad) yang pernah berguru dengan dua orang murid Syeikh Daud iaitu ayahnya Muhammad Zain bin Mustafa Al-Fatānī (lahir 1233H./1817M.) dan Syeikh Nik Dir atau Abdul Qadir bin Abdul Rahman Al-Fatānī (1244-1315H./1829-1898M.)

Berdasarkan latar belakang pengajian Abdullah bin Abdul Kadir (1797-1854M.) dalam hikayatnya, ternyata bahawa pada awal abad ke-19M. iaitu semasa kecilnya, penulisan Sifat 20 Umm al-Barāhīn telah mendapat pendidikan di Melaka oleh Al-Syaikh bin ‘Alawī yang datang dari Hadramaut pada ketika itu (Abdullah bin Abdul Kadir, 1970 : 55). Pada tahun 1821M., penulisan tersebut telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu oleh ulama Batawi di bawah tajuk yang sama iaitu Umm al-Barāhīn. Pada tahun 1258H./1842M. Muhammad Syihabuddin bin Muhammad Arsyad Al-Banjārī telah mengemukakannya di Riau dalam Tahsīl Nayl al-Marām li Bayān Manzūmah ‘Aqīdah al-Awām sebagai huraian ‘Aqīdah al-‘Awām min Wājib fī al-Dīn bi al-Tamām karangan Abū al-Fauz Al-Sayyid Ahmad Al-Marzūqī dan kitab ini juga diterjemah kemudiannya ke dalam bahasa Melayu oleh Syeikh Daud. Mengikut Mahayudin Haji Yahaya tulisan ulama Batawi terdapat di Perpustakaan Universiti Leiden, Cod.Or.5644(17903), manakala tulisan Muhammad Syihabuddin bin Muhammad Arsyad Al-Banjārī pula terdapat di Royal Asiatic Society, London, Maxwell 80 (Mahayudin Haji Yahaya, 2000 : 239-40 dan 61-62).

Menjelang tahun 1276H./1860M., bahasa Melayu merupakan bahasa kedua di Mekah setelah bahasa Arab (Bruinessen, 1995 : 41). Berkemungkinan dengan jumlah anak Melayu yang begitu ramai telah mendorong perasaan Syeikh Ahmad yang berada di sana mentashihkan kitab Bidāyah al-Hidāyah pada pagi hari Sabtu 20 Rejab 1303H./1885M.

Rentetan jasa Syeikh Ahmad, kitab Bidāyah al-Hidāyah telah dicetak di beberapa percetakan di Mekah, Mesir dan Turki dan sampai sekarang masih berada di dunia perniagaan. Kitab ini adalah sebagai satu bukti bahawa kitab Bidāyah al-Hidāyah masih banyak digunakan di beberapa tempat (Wan Mohd. Shaghir Abdullah, 1990 : 1).

Kitab-kitab Tauhid atau Ilmu Usuluddin atau Ilmu Kalam atau Ilmu Sifat Dua Puluh bermunculan di seluruh penjuru Tanah Jawi atau Asia Tenggara atau Alam Melayu (Wan Mohd. Shaghir Abdullah, 1990 : 1).

Pada tahun 1292H./1874M. seorang ulama di Sambas, Kalimantan Barat telah mengemukakan secara berselindung dalam huraian Matn Jawharah al-Tauhīd. Pada 1304H./1886M. Sayyid Osman bin Abdullah bin Aqil bin Omar bin Yahya Al-‘Alawī atau Habib Osman (1238-1333H./1822-1914M.) Mufti Batavia Jakarta telah menyelesaikan sebuah huraian lengkap tentang sifat-sifat Allah Taala dengan judulnya Sifat Dua Puluh. Pada hari sabtu akhir bulan Jamadilalakhir 1308H./1890M. penulisan ini telah dihuraikan oleh Syeikh Zainal Abidin bin Muhammad Al-Fatānī atau Tuan Minal Al-Fatānī dalam bahasa Melayu dengan nama ‘Aqīdah al-Nājīn fī ‘Ilm ’Usūl al-Dīn kitab ini telah dicetakkan di percetakan Dār al-Ihyā’ al-Kutub al-‘Arabiyyah, Kaherah, Mesir setelah itu dicetak lagi di cetakan Muhammad Nahdī wa Awlādah, Bangkok, Thailand. Di samping itu, beliau telah membuat kesimpulan dalam sebuah risalah yang berjudul Miftāh al-Murīd fī ‘Ilm al-Tauhīd.Bahan ini telah dicetak di percetakan Persam, Pulau Pinang.

Pada 16 Muharam 1323H. bersamaan dengan 1905M., Muhammad bin Yahya, Terengganu telah menterjemahkannya ke dalam bahasa Melayu tulisan tangan berhuruf jawi dan diberi nama dengan Mukhtasar Zaydah al-Tauhīd fī Bayāni al-‘Aqā’id atau Mukhtasar Pati Tauhīd pada Nyatakan ‘Aqā’id al-Dīn terjemahan ini telah dicetak di Percetakan Singapura. Pada sekitar awal abad ke-20M. Matan ini juga pernah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu dan dicetak di Patani, setelah itu diulang lagi cetakannya dan dijual di kedai buku Sulaymān Mar‘ī, Surabaya. Pada 1366H./1946M. Abdul Hamid Fadl, Besut, Terengganu yang pernah berguru dengan bekas murid Abdul Samad iaitu Tok Kelaba Al-Fatānī (1280-1367H./1863-1948M.) telah menulis sebuah risalah sebagai kesimpulan kepada huraian-huraian dan hasyiah-hasyiah dan diberi nama dengan Pungkal [sic Pangkal] Umbi Ugama [sic Agama] dan dicetak kali pertama di Al-Kamaliyyah, Kota Bharu pada tahun 1367H. Pada tahun 1380H./1960M., Abdullah bin Haji Ibrahim bin Abdul Karim Al-Fatānī yang berada di wilayah Jala atau Yala telah menyelesaikan sebuah syarah Farīdah al-Farā’id fī ‘Ilm al-‘Aqā’id karya Syeikh Ahmad. Beliau kemudiannya menamakan huraian tersebut dengan ‘Umdah al-Tālib al-Mujtahid fī Syarh Farīdah al-Farā’id.

Selain itu, terdapat beberapa naskhah manuskrip lain yang membicarakan tentang Sifat 20 dengan tanpa nama pengarang atau penyalin dan tanpa tahun dikarang seperti naskhah manuskrip tanpa judul yang tersimpan di Perpustakaan A. Hasjmy dan dua naskhah lain yang tersimpan di Pusat Dokomentasi dan Informasi Aceh (PDIA) dan Durrah al-Fākhirah bi ‘Awn al-Mulk yang tersimpan juga di Pusat Dokomentasi dan Informasi Aceh (No.Reg.076) (Lihat Mahayudin Haji Yahaya, 1994 : 279, 330, 345 dan 347).

Pada awal abad ke-21M. ajaran yang berkaitan dengan Sifat 20 masih lagi ditulis dan dikaji oleh para sarjana Islam di alam Melayu seperti Sifat 20 Ke Arah Memahami ‘Aqidah Ahli Sunnah Wal-Jama‘ah karangan Noraine Abu (2001M.), Mīzān al-Dharārī pada Terjemah dan Menerangkan Kitab Tijān al-Darārī bi Syarh Risālah Al-Bājūrī [sic Al-Bayjūrī] karangan Ismail bin Omar bin Awwam Al-Da‘alajī Al-Sapanjanjī Al-Fatānī (2002M.), ‘Aqidah Ahli Sunnah Wal Jama’ah dan Kebatinan karangan Abdulfatah Haron Ibrahim (2003M.) dan Metode qiyas dalam kitab Umm al-Barahin oleh Al-Sanusi karangan Engku Hassan Engku Wok Zin (dalam proses).

5. Kesimpulan


Ajaran Sifat 20 telah muncul kali pertama di utara Afrika pada abad ke-15M. dan tersebar kemudiannya ke alam Arab. Pada abad ke-17M. ia telah terdedah pada alam Melayu melalui penulisan-penulisan beberapa orang ulama antaranya Ahmad bin Aminuddin Qadhī, Al-Syaikh Nūr al-Dīn Al-Ranīrī dan Syeikh Abdul Rauf Singkil. Pada abad ke-18M. penulisan Sifat 20 Umm al-Barahin mulai diterjamahkan ke dalam bahasa Malayu oleh Syeikh Muhammad Zain Faqih Jalaluddin Al-Asyī, diikuti dengan Syeikh Daud bin Abdullah Al-Fatānī dan disebar luas kemudiannya oleh Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain Al-Fatānī pada abad ke-19M. Sekalipun ia dikenali dengan pelbagai nama, namun di alam Melayu ia lebih dikenali dengan Sifat 20 hingga ke hari ini.

RUJUKAN

Al-Qur’ān al-Karīm (1413H.). Madīnah al-Munawwarah: Mujamma‘ Khādim al-Haramayn al-Syarīfayn al-Malik Fahd li Tibā‘ah al-Mushaf al-Syarīf.

Buku:

‘Abd Allāh al-‘Ārif (1994). Bahr al-Dahūt (Lahūt) Al-Kitāb fī al-Bayān al-Alīf, (terj.). Dalam Naskhah Jawi Sejarah dan Teks Jilid 1 (Mahayudin Haji Yahaya, ed.), m.s. 89-97. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

‘Abduh, Al-Syaikh Muhammad (1979). Risalah Tauhid (K.H. Firdaus A.N, terj.), 7th ed. Jakarta: Bulan Bintang.

Abdul Aziz Omar Ahmad (2001). Asas ‘Aqidah Islam. Kota Bharu: Pustaka Aman Press Sdn. Bhd.

Abdullah bin Abdul Kadir (1970). The Hikayat Abdullah, (A.H. Hill., terj.). Hongkong: Oxford University Press.

Abdul Rahman Haji Abdullah (1989) Gerakan Islah di Perlis : Sejarah dan Pemikiran. Kuala Lumpur: Pena.

__________, (1990) Pemikiran Umat Islam di Nusantara Sejarah dan Perkembanganya Hingga Abad ke-19. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

A. Hanafi (1974). Teology Islam (Ilmu Kalam). Jakarta: Bulan Bintang.

Ahmad Daudy (1983). Allah dan Manusia dalam Konsepsi Syeikh Nuruddin ar-Raniri. Jakarta: CV. Rajawali.

Alyahya (1991). Dua Puluh Sifat Allah. Selangor: Citra Publishing Sdn. Bhd.

Azyumardi Azra (1995). Jaringan Ulama Timur Tengah dan Kepulauan Nusantara Abad XVII dan XVIII : Melacak Akar-akar Pembaharuan Pemikiran Islam di Indonesia, 2nd ed. Bandung: Mizan.

Bruinessen, Martin Van (1995). Kitab Kuning Pesantren dan Tarikat, 2nd ed. Bandung: Mizan.

Daud bin Abdullah Al-Fatānī, Syeikh (t.th.). Al-Durr al-Thamīn fī Bayān ‘Aqā’id al-Mu’minīn. Pulau Pinang: Almuarif.

Ibn Khaldūn, ‘Abd al-Rahmān bin Muhammad bin Khaldūn (1996). Muqaddimah Ibn Khaldūn. Beirut: Dār al-Kitāb al-‘Arabī.

Mahayudin Haji Yahaya (1994) Naskhah Jawi Sejarah dan Teks Jilid 1. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

__________, (1998). Islam di Alam Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

__________, (2000) Karya Klasik Melayu-Islam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mudasir Rosder (1989). Asas Tauhid Pertumbuhan dan Huraiannya. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Muhammad Zain bin Faqih Jalaluddin Al-Asyī, Syeikh (1342). Bidāyah al-Hidāyah. Misr: Mustafā al-Bābī al-Halabī wa Awlāduh.

Muhammad Zainuddin bin Muhammad Badawi Al-Sumbāwī, Syeikh (t.th). Sirāj al-Hudā pada Menyatakan Akidah Ahl al-Taqwā. Singapura: Sulaymān Mar‘ī.

Noraine Abu (2001) Sifat 20 Ke Arah Memahami ‘Aqidah Ahli Sunnah Wal-Jama‘ah, 4th ed. Selangor: Pustaka Ilmi.

Osman bin Jantan, Haji (1986). Pedoman Ilmu Tauhid, 3rd ed. Singapura: Pustaka Nasional. Pte. Ltd.

Al-Ranīrī, Nūr al-Dīn (1955). Hujjah al-Siddīq li Da‘fi al-Zindīq. Dalam Twee Maleise Geschriften Van Nūruddīn Ar-Rānīrī (Voorhoeve, P, ed.), m.s. 1-27. Leiden: E.J. Brill.

Russell, Jones (1974). Nur’d-din ar-Raniri Bustanu’s-Salatin Bab ІV Fasal І. Kuala Lumpur: Art.

Al-Sanūsī, Al-Imām Muhammad bin Yūsuf (t.th.) Matn al-Sanūsiyyah. Patani: Dār al-Tibā‘ah al-Islāmiyyah.

___________, (t.th.b) Syarh Umm al-Barāhīn. Dalam Al-Dusūqī ‘alā Umm al-Barāhīn (Al-Dusūqī, ed), m.s. 2-238. Bangkok: Muhammad Nahdī wa Awlādah.

Sirajuddin Abbas, K.H. (1978) I’itiqad Ahlussunnah Wal-Jama’ah, 4th ed. Kota Bharu: Pustaka Aman Press Sdn. Bhd.

Al-Syāfi‘ī, Al-Imām Abī ‘Abd Allah Muhammad bin Idrīs (t.th.). Al-Fiqh al-Akbar. Dalam Kaukab al-Azhar Syarh al-Fiqh al-Akbar, m.s. 7-35. Makkah al-Mukarramah: Maktabah al-Tijāriyyah.

Tanpa pengarang (1994) Mengenai Tauhid. Dalam Naskhah Jawi Sejarah dan Teks Jilid 1 (Mahayudin Haji Yahaya, ed.), m.s. 99-100. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Wan Mohd. Shaghir Abdullah, Haji (1976). Hamzah Fansuri dan Muridnya Shamsuddin As-Sumaterani. Dalam Tokoh-tokoh Sastera Melayu Klasik (Mohammad Daud Mohammad, ed.), m.s. 54-62. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

__________, (1976b) Syaikh Abdurrauf bin Ali Al-Fansuri. Dalam Tokoh-tokoh Sastera Melayu Klasik (Mohammad Daud Mohammad, ed.), m.s. 63-71. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

__________, (1990) Fari-datul Fara-id Syeikh Ahmad Al-Fathani. Kuala Lumpur: Khazanah Fathaniyah.

__________, (1991) Khazanah Karya Pusaka Asia Tenggara, Jil. 1 dan 2. Kuala Lumpur: Khazanah Fathaniyah.

Mikrofilem:

Tanpa pengarang (t.th.). ‘Umdah al-Muhtājīn ilā Sulūk Maslak al-Mufarridīn. Perpustakaan Hamzah Sendut I, Universiti Sains Malaysia, Microfilm 2912.

Prosiding:

Abdul Aziz Ambak bin Haji Ismail, Haji (1991). Sumbangan Syeikh Daud Al-Fatani dalam Akidah di Nusantara. Kertas kerja yang disampaikan dalam Nadwah Ilmiyah Tokoh Ulama’ Peringkat Kebangsaan (Syeikh Daud Abdullah Al-Fatani), kali ke-iv, m.s. 55-116. Anjuran Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama Akademic Islam, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, Desember 17-19

Bahagian Hal Ehwal Islam (1991). Syeikh Daud Abdullah Al-Fatani : Pengenalan Ringkas. Kertas kerja yang disampaikan dalam Nadwah Ilmiyah Tokoh Ulama’ Peringkat Kebangsaan (Syeikh Daud Abdullah Al-Fatani), kali ke-iv, m.s. x-xi. Anjuran Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama Akademic Islam, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, Desember 17-19


Nota


[1] Syeikh Abdul Rauf Singkil (1024-1106H./1615-1695M.) iaitu Syeikh Abdul Rauf bin Ali Al-Fansūrī yang lebih terkenal dengan sebutan Syeikh Abdul Rauf, banyak mempunyai gelaran seperti Syeikh Kuala, Syeikh di Kuala atau Ciah Kuala, Tengku Ciah Kuala dan Abdul Rauf van Singkil. Beliau berasal dari Fansur (Barus), Singkil, Aceh (Sumatera Barat) (Wan Mohd. Shaghir Abdullah, 1976b : 63). Beliau mendapat pendidikan awal di desa kelahirannya, terutama daripada ayahnya. Kira-kira pada tahun 1052H./1642M. beliau datang ke tanah Arab. Selama di negeri Arab, beliau menuntut ilmu pengetahuan di sepanjang jalan haji, dari Dhuha, Yaman, Jeddah dan Akhirnya di Mekah dan Madinah (Azyumardi Azra, 1995 : 192-3). Pada tahun 1661M. beliau kembali ke Aceh setelah menghabiskan masa dalam buku pelajaran tidak kurang dari 19 tahun (Bruinessen, 1995 : 192). Pada tahun 1665M. beliau dilantik menjadi Qādī Malik al-‘Ādil atau Mufti kerajaan Aceh Dār al-Salām pada zaman Ratu Safiatuddin (Mahayudin Haji Yahaya, 2000 : 51). Syeikh Abdul Rauf Singkil dikenali sebagai pembawa tarekat Syattāriyyah ke Indonesia. Gurunya yang paling penting di Madinah ialah Burhan al-Dīn Malik Ibrāhīm anak Hasan Al-Kuranī Al-Syāfi‘ī Syattārī (1023-1101H./1615-1690M.) atau Ibrāhīm Al-Kuranī. Pada ketika itu Burhan al-Dīn Malik Ibrāhīm adalah ulama yang paling besar di Madinah, dan murid-muridnya datang dari seluruh dunia Islam (Bruinessen, 1995 : 46) dan ia merupakan penerus salah satu aliran tasawuf Mesir iaitu tradisi yang diwakili oleh Zakariyyā Al-Ansārī dan muridnya ‘Abd al-Wahhāb Al-Syi‘rānī (Bruinessen, 1995 : 68).
[2] Nama Lengkapnya ialah Nūr al-Dīn ibn ‘Alī ibn Husan Ji (Husanji) Ibn Muhammad Hamīd Al-Ranīrī Al-Syāfi‘ī (Al-Ranīrī, 1955 : 2). Beliau adalah keturunan Hadramī yang berasal dari Rander (Ranir, terletak di kawasan Teluk Kambai, Gujarat, India). Setelah beliau tamat pengajiannya di Mekah beliau belayar ke Aceh, beliau tiba di Aceh pada tahun 1047H./1637M. dan tinggal di situ selama tujuh tahun (1637-1644M.) (Russell, 1974 : 1). Pada masa pemerintah Sultan Iskandar Thani (1636-1641M.) beliau diangkat menjadi Mufti Aceh dan meninggal dunia pada 22 Zulhijah 1069H./21 September 1658M. (Mahayudin Haji Yahaya, 1994 : 44-6). Mengikut Wan Mohd. Shaghir Abdullah, Al-Syaikh Nūr al-Dīn Al-Ranīrī adalah bekas pelajar pusat pengajian Islam Hadramaut yang menganut tarekat Qādiriyyah aliran Al-Asy‘arī, pernah datang dari Gujarat menuju Aceh pada tahun 1570M. (Wan Mohd. Shaghir Abdullah, 1976 : 58-60).
[3] Syeikh Daud, nama penuhnya ialah Syeikh Daud bin Syeikh Wan Abdullah bin Syeikh Wan Idris Al-Fatānī. Beliau dilahirkan di Kerisik, Patani. Berbagai-bagai pendapat mengenai tahun kelahirannya, ada pendapat yang menyatakan: 1133H./1720M., 1153H./1740M. dan1183H./1769M. Penemuan terakhir menunjukkan beliau telah dilahirkan pada tahun 1131H./1718M. Beliau mendapat pendidikan asas di Pondok Kuala Bekah, Pondok Kerisik, Pondok Semela dan Pondok Pauh Bok, Patani, kemudian berhijrah ke Aceh selama dua tahun. Selepas itu, beliau melanjutkan pengajiannya di Mekah dan Madinah. Belajar di Mekah selama 30 tahun dan di Madinah 5 tahun. Manakala tahun kematiannya juga berbeza-beza pendapat iaitu, 1263H./1846M. dan 1265H./1848M. Berdasarkan penyelidikan terakhir, didapati bahawa beliau meninggal dunia pada tahun 1297H./1879M. dalam usia 166 tahun. Beliau telah meninggal dan dikebumikan di Tā’if (Bahagian Hal Ehwal Islam, 1991 : x).
[4] Syeikh Ahmad, nama penuhnya ialah Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain bin Mustafa bin Muhammad Al-Fatānī. Seorang ulama Patani berketurunan pendakwah Hadramaut yang datang menyebarkan Islam di Patani. Beliau dilahirkan pada tahun 1272H./1856M. di Kampung Jambu, Yaring, Patani dan meninggal dunia pada tahun 1325H./1906M. Beliau menerima ilmu Islam di Mekah, Jerusalem dan Universiti Al-Azhar. Seterusnya, beliau mengajar di Masjid al-Harām, Mekah sehingga menjadi seorang ulama yang terkenal. Antara murid beliau yang terkenal adalah Muhammad Yusuf bin Ahmad (1287-1351H./1870–1933M.) atau lebih dikenali sebagai Tok Kenali, Wan Musa bin Abdul Samad (1292-1358H./1875–1939M.) atau lebih dikenali sebagai Mufti Haji Wan Musa dan Ismail bin Abdul Qadir Al-Fatānī (1300-1385H./1882-1965M.) atau lebih dikenali sebagai Pak Da Ail.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan