Isnin, 7 Jun 2010

Peranan Al-Istiqraa' dalam penelitian hukum-hakam

Menurut Ibn Qasim al-Ghazzi (859-918 H./ 1455-1512 M.) (t.th: 114-116) dalam syarahan beliau terhadap Matn al-Syaikh Abi Syujaa‘ penentuan masa minimum, kebiasaan dan maksimum kedatangan darah haid dan nifas yang dikemukakan oleh al-Imam al-Syafi‘i (150-204H./767-820M.) adalah bersandarkan Al-Istiqraa’.

Berkaitan dengan Al-Istiqraa’ pula Al-Bayjūrī (1198-1277H./1783-1860M.) dalam Hasyiah al-‘Allamah al-Fadil al-Syaikh Ibrahim al-Bayjuri ‘ala Syarh al-‘Allamah Ibn Qasim al-Ghazzi ‘ala Matn al-Syaikh Abi Syujaa‘ (t.th.: 1: 115) telah mengemukakan dua bahagian Al-Istiqraa’ iaitu Al-Istiqraa’ Naaqis dan Al-Istiqraa’ Taam. Dimaksudkan dengan Al-Istiqraa’ Naaqis ialah mengikuti dan memeriksa sebahagian maklumat, manakala Al-Istiqraa’ Taam pula ialah mengikuti dan memeriksa keseluruhan maklumat yang ada.

Menurut Al-Bayjūrī Al-Istiqraa’ Naaqis ini pernah dilakukan oleh al-Imam al-Syafi‘i dengan mengikuti dan memeriksa sebahagian perempuan Arab seketika beliau membuat penelitian tentang hukum-hakam yang berkaitan dengan tempoh masa kedatangan darah haid dan nifas.

Selain al-Imam al-Syafi‘i, Al-Istiqraa’ Naaqis juga pernah digunakan sebelumnya oleh khalifah Omar dalam penelitian tempoh maksimum penempatan tentera tidak melebihi empat bulan kerana seorang perempuan tidak dapat menahan nafsu syahwatnya melebihi tempoh tersebut seperti yang telah diisyaratkan oleh anaknya yang bernama Hafsah.

Menurut Al-Bayjūrī lagi, Al-Istiqraa’ Naaqis boleh dijadikan dalil zan (dalil dugaan) yang boleh dipertikaikan manakala Al-Istiqraa’ Taam pula boleh dijadikan dalil qat‘i (dalil yang boleh mengalahkan) yang tidak boleh dipertikaikan.

Berdasarkan Al-Istiqraa’ Naaqis yang diamalkan oleh kedua-dua tokoh ini maka hukum-hakam tersebut boleh lagi dipertikaikan kerana ada kemungkinan perempuan itu berbeza menurut suasana dan tempat. Perempuan Asia berbeza dengan perempuan Afrika, Arab, Eropah, dan sebagainya. Dengan itu, tidak menjadi kesalahan jika ada para ulama atau pakar penyelidik di era globalisasi yang berani dan gigih dalam menilai semula segala hukum-hakam yang berkaitan dengan Al-Istiqraa’ Naaqis yang pernah diamalkan oleh para ulama silam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan